Kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebulat suara mengumumkankan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pemakluman rasmi akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga Setiausaha Dewan Undangan Negeri selepas selesai sidang media ini.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa kami mendukung penuh serta mempertahankan institusi adat dan perlembagaan serta undang-undang tubuh kerajaan Negeri Sembilan dan mahukan kerajaan yang stabil supaya dapat memainkan peranan sebaik mungkin dalam pentadbiran negeri sekaligus dapat memberikan fokus kepada objektif kesejahteraan rakyat dan ekonomi negeri,” katanya.