Wanita rasa tak selamat, pakai tutup litup pun orang ambil gambar curi-curi dalam tren

Oleh MALAYSIADATELINE

Perkongsian daripada seorang wanita yang meluahkan kebimbangannya dengan tindakan penumpang lelaki menggunakan kamera dalam tren Transit Aliran Massa (MRT) telah mencuri perhatian ramai baru-baru ini.

Mana tidaknya, wanita terbabit mendakwa penumpang berkenaan bertindak menghalakan kamera profesional itu ke arahnya yang sedang berdiri di dalam tren disyaki untuk mengambil gambarnya secara curi-curi.

Berdasarkan perkongsian tular dimuat naik di platform Threads tersebut, mangsa yang dikenali sebagai Aen itu memaklumkan bahawa kejadian berkenaan berlaku ketika dirinya sedang menaiki tren MRT laluan Kajang.

Sehubungan dengan itu, Aen tampil memberi amaran kepada penumpang wanita lain yang turut menaiki tren agar lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling ketika menggunakan pengangkutan awam.

“Kita berdiri di sebelah tempat duduk dan tiada orang lain dekat situ. Keadaan agak lengang waktu ini. Eh, tiba-tiba lelaki Cina ini bawa keluar kamera dari beg dia dan buat macam itu (mengambil gambar).

“Betulkan dia mengambil gambar saya? Seramnya wei! Apabila orang lalu di hadapan lelaki itu, dia akan sorok kamera dalam bag. Kemudian dia bawa keluar semula selepas ‘line clear’,” kongsinya dalam hantaran itu.

Rakaman kejadian yang memaparkan pelaku sedang memegang kamera miliknya dan meletakkannya di atas beg dipercayai sambil mengambil gambar turut dikongsikan oleh mangsa dalam hantaran sama.

Wanita itu turut meluahkan rasa kesal kerana kejadian sedemikian tetap berlaku terhadap dirinya walaupun sudah mengenakan pakaian yang bertutup-litup dari kepala hingga ke hujung kaki.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna termasuk di kalangan jurugambar sendiri mengesahkan dakwaan mangsa bahawa pelaku sememangnya sedang mengambil gambarnya.

Ramai juga pengguna berkongsikan langkah-langkah keselamatan buat penumpang wanita jika berhadapan situasi serupa dengan segera membuat aduan kepada kakitangan tren atau menaiki gerabak khusus buat kaum Hawa.

“Sesiapa yang pernah pakai kamera macam ini tahu dia tengah curi tangkap gambar mangsa. Tengok ‘shutter’ (pengatup) lensa dia sahaja sudah cukup. Tutup, buka tutup,” kata seorang pengguna mengesahkan dakwaan mangsa.

“Sepatutnya awak terus laporkan kepada kakitangan sebaik sahaja turun dari tren. Beritahu tren yang mana serta lokasi tujuannya supaya kakitangan boleh sekat dia di stesen seterusnya. Tunjuk video ini sebagai bukti supaya mereka boleh mencari pelaku.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Melampau sunting gambar hina Sultan Selangor, polis berjaya kesan pengguna FB & rampas telefon