Trend pengeluaran Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat semakin meningkat, apabila ramai rakyat memilih untuk menggunakan simpanan mereka lebih awal bagi menampung keperluan semasa.
Perkongsian santai oleh seorang pengguna media sosial yang mengakui ia sebagai “titik terendah” apabila terpaksa menggunakan wang daripada Akaun Fleksibel, secara tidak langsung menarik perhatian dan membuka ruang perkongsian pandangan dalam kalangan warga maya.
Dalam banyak-banyak pendapat, respon satu ini memperlihatkan realiti sebenar sebahagian rakyat kini yang berdepan dilema antara menikmati hasil titik peluh sendiri hari ini atau menyimpannya demi masa depan.
Respon tersebut berbunyi; “Tak tahulah korang macam mana. Tapi aku withdraw tiap-tiap bulan sebab what if kau mati awal dan tak sempat merasa duit KWSP sendiri? Isn’t that a waste of life”.
Cerminan dilema kewangan rakyat
Isu ini secara tidak langsung membuka perbincangan lebih luas mengenai tahap literasi kewangan rakyat, khususnya berkaitan fungsi sebenar KWSP sebagai simpanan persaraan.
Sebahagian netizen melihat kenyataan tersebut sebagai berisiko, terutama apabila melibatkan jaminan kewangan pada usia tua.
Namun, tidak kurang juga yang menganggap logik di sebalik pandangan itu ada asasnya, khususnya dalam realiti kehidupan hari ini yang penuh ketidakpastian.
“Masa depan belum tentu, sekurang-kurangnya merasa juga duit sendiri,” antara reaksi yang menyokong pandangan tersebut.
Pakar kewangan sebelum ini berulang kali mengingatkan bahawa pengeluaran simpanan KWSP secara kerap boleh memberi kesan besar kepada kestabilan kewangan jangka panjang.
Walaupun skim pengeluaran fleksibel diperkenalkan bagi membantu rakyat menghadapi keperluan mendesak, ia bukan bertujuan untuk dijadikan sumber pendapatan berterusan.
Baca juga: “Habis aku nak balik macam mana!”- Pemuda terkedu baca nota ‘pencuri’ helmet