Rakyat Johor memerlukan kepimpinan dan wakil yang cerdik menilai keutamaan, berani dalam membuat keputusan serta benar-benar memahami denyut nadi mereka.
Pesanan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada para pengundi dalam membuat keputusan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 tidak lama lagi.
Menerusi perkongsian di platform Facebook, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut memberi jaminan bahawa calon dipilih untuk mewakili parti gabungannya akan terus membawa suara rakyat demi kepentingan Johor.
“Insya-Allah, HARAPAN akan terus membawa suara rakyat, mempertahankan kepentingan Johor, dan mengangkat negeri ini menjadi sebuah negeri yang lebih maju dan hebat untuk semua.
“Johor Ke Depan. Undi HARAPAN,” kata pemimpin nombor satu negara merangkap Presiden PKR itu menerusi perkongsian dimuat naik di akaun Facebook rasmi miliknya pada Sabtu.
Anwar dalam hantaran sama turut berkongsi amanat kepada jentera pilihan raya PH untuk terus bekerja keras dalam memastikan kemenangan calon-calon dalam parti gabungan tersebut.
Beliau juga menekankan bahawa wakil PH akan terus mewakili kepentingan rakyat merentasi kaum untuk sama-sama bekerja dalam membangunkan Johor dan mengangkat martabat negeri tersebut.
“Kita nak pilih wakil rakyat dan pimpinan yang mewakili kepentingan rakyat di Johor. Rakyat Malaysia, Melayu, Cina serta India, kita bekerja bersama untuk membangunkan negara dan mengangkat negeri ini menjadi hebat.” Ujarnya.
Baca juga: ‘Tak cerdik, tak berterima kasih’ – Anwar bidas tindakan Onn Hafiz bangkit isu JS-SEZ