Gadis 19 tahun maut ditikam 61 kali, 4 suspek termasuk warga emas ditahan polis

Oleh MAISARAH AISYA

Seorang wanita berusia 19 tahun ditemukan maut dipercayai akibat ditikam berulang kali di bahagian dada dalam satu kejadian di Jalan Kampung Padang Simah, Ketereh, Kota Bharu, awal pagi semalam.

Menurut kenyataan media Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis kira-kira jam 12.35 pagi pada 1 Mei 2026 selepas menerima maklumat mengenai penemuan mayat mangsa di lokasi kejadian.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu bagi tindakan lanjut.

Hasil bedah siasat yang dijalankan sekitar jam 9.30 pagi mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.

Susulan siasatan, polis menjalankan serbuan di dua lokasi berasingan iaitu di Taman Murni, Jalan Abdul Kadir Adabi, Kota Bharu dan Kampung Belukar Luas, Ketereh.

Dalam operasi tersebut, polis berjaya menahan tiga lelaki Melayu berusia antara 19 hingga 66 tahun serta seorang wanita Melayu berumur 60 tahun bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing menunjukkan keputusan negatif dadah.

Turut dirampas dalam serbuan berkenaan ialah dua buah kereta, dua telefon bimbit, satu set pakaian, sepasang selipar, empat pelapik kaki serta sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Kota Bharu bagi membantu siasatan lanjut.

Media semalam melaporkan, mayat seorang wanita yang ditemukan di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh, tengah malam semalam, mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.

Baca juga: Dakwa Anwar tiada jasa jadi Perdana Menteri, sekali individu ini disekolahkan netizen