Baru-baru ini tular rakaman video memaparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di tengah kerumunan ramai di kawasan Bukit Bintang berhampiran sebuah pusat membeli belah popular di Kuala Lumpur.
Difahamkan, video itu mengundang perbincangan hangat kerana dimuat naik di platform Facebook bersama dakwaan bahawa kehadiran Anwar di lokasi tersebut adalah bertujuan untuk menyertai ‘pesta air’.
Pesta dimaksudkan adalah Festival Muzik Air Rain Rave 2026 yang berlangsung di kawasan Bukit Bintang pada 30 April hingga 2 Mei lalu melibatkan persembahan artis tempatan dan aktiviti interaktif bersama pengunjung.
Dakwaan tersebut sekali gus menimbulkan kemarahan orang ramai sehinggakan pemimpin nombor satu negara itu dilemparkan dengan pelbagai tomahan dan tuduhan termasuklah menyokong maksiat.
“Dia mari juga Bukit Bintang. Esok lusa dia ceramah agama sedikit, walaun (penyokong) cair terus,” tulis individu yang memuat naik rakaman berdurasi 20 saat tersebut di akaun Facebook miliknya.
Namun dakwaan dilemparkan dilihat bercanggah dengan kenyataan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang memaklumkan tentang ketidakhadiran Anwar dalam acara itu.
Rupa-rupanya, dakwaan itu hanya bersifat fitnah malah rakaman yang dikongsikan adalah video lama diambil pada sekitar tahun 2023 sewaktu Anwar menghadiri majlis tayangan perdana filem ‘Anwar: The Untold Story’.

Majlis yang diadakan di pawagam dalam pusat membeli-belah terletak di kawasan Bukit Bintang itu dihadiri Anwar yang juga Menteri Kewangan bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Rakaman kehadiran Anwar dan isterinya itu bagaimanapun disunting sehingga tidak menunjukkan kejadian sebenar lalu mengundang fitnah dan ramai rakyat percaya bahawa Perdana Menteri turut menyertai pesta air.
