“Macam orang gila, tak ada life” – Aliff Syukri penat fikir konten, buat ‘live’ setiap hari

Oleh MAISARAH AISYA

Usahawan Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa penat dengan tekanan dunia perniagaan dan media sosial ketika ini sehingga terdetik mahu kembali ke zaman 15 tahun lalu.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Aliff mengakui suasana berniaga dahulu jauh lebih mudah apabila usahawan hanya perlu mengiklankan produk di televisyen dan radio untuk mendapatkan jualan tinggi.

Menurutnya, keadaan kini sangat berbeza apabila peniaga perlu sentiasa memikirkan kandungan media sosial setiap hari demi memastikan perniagaan terus relevan.

“Rasa macam nak kembali bisnes 15 tahun lepas, tak ada media sosial. Senang bayar duit dekat televisyen dan radio boleh dapat sale lebat margin tinggi.

“Sekarang ni penat hari-hari nak fikir konten… macam orang gila, tak ada life. Hari-hari live badan jadi busuk dah. Apa patut papa buat?” tulisnya.

Perkongsian itu menarik perhatian netizen yang rata-rata memahami tekanan dihadapi peniaga online pada masa kini.

“Betul, penat sangat bila jadi ‘content creator’ nak buat nama tapi keputusan tak memuaskan. Kena ikut cakap platform, kita dikawal sepatutnya kita kawal perniagaan kita.

“Kalau perasan kita dah macam jadi hamba kepada media sosial. Mereka pegang kita dengan macam-macam trik dan buat kita rasa perniagaan bergantung pada mereka dan janji asalkan kita dapar ‘survive’.

“Buat laman web Datuk dengan kedai fizikal, tak perlu jual dekat platform dalam talian. Caj jualan boleh beli rumah sebuah,” antara komen pengguna Threads.

Baca juga: Pekerja salun terkenal di KL tunjuk slip gaji, dakwa mampu raih lebih RM58,000 sebulan melalui komisen