Gara-gara gelombang panas ekstrem, pasar raya huru hara orang berebut beli penyaman udara

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah pasar raya di pinggir ibu kota Perancis bertukar huru hara selepas orang ramai menyerbu untuk mendapatkan penyaman udara yang ditawarkan pada harga diskaun susulan gelombang haba ekstrem melanda negara itu.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pelanggan berhimpit di pintu masuk dan berlari masuk ke dalam kedai sebaik ia dibuka.

Menurut laporan, permintaan terhadap peralatan penyejukan terus meningkat selepas beberapa hari suhu luar biasa di seluruh negara.

Lapor Sinar Harian, Ahli Parlimen, Karl Olive berkata, kejadian ‘pembelian panik’ itu turut berlaku di beberapa kedai lain malah ada pelanggan yang sanggup beratur seawal jam 6 pagi (waktu tempatan).

Bagaimanapun, stok penyaman udara sedia ada didakwa tidak dapat menampung permintaan pengguna yang semakin meningkat.

“Ramai yang kecewa kerana hanya terdapat kipas dijual di kedai,” katanya di platform X memetik Sinar Harian.

Media tempatan menyifatkan keadaan di beberapa kawasan sebagai ‘huru-hara’ akibat ketiadaan peralatan penyejukan di pasaran.

“Berlaku pertengkaran antara pelanggan yang berebut kipas terakhir di sebuah kedai di Saint-Germain-en-Laye sehingga polis terpaksa campur tangan untuk mengawal keadaan,” menurut laporan Le Parisien.

Sebahagian pembeli memaksa pintu kedai dibuka sebelum waktu operasi dan bertindak kasar dengan menolak orang lain semata-mata mahu menjadi individu pertama mendapatkan peralatan penyejukan yang kini menjadi barang berharga.

Perancis mengalami cuaca panas kering luar biasa dengan sebahagian besar kawasan merekodkan suhu melebihi 35 darjah Celsius selain ribuan kematian direkodkan.