Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengharumkan nama Malaysia tahun lalu apabila diiktiraf sebagai tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 dalam edisi 2026 buku The World’s 500 Most Influential Muslims.
Menurut laporan yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC), Jordan itu, Anwar naik ke tangga ke-10 daripada kedudukan ke-15 pada tahun lalu (2025) dalam kategori sama.
Pemimpin itu tersenarai sebagai 50 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia bersama tokoh-tokoh lain termasuk Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani (tempat pertama), Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud (kelapan) dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto (15).
Laporan itu juga meletakkan Anwar di tangga ketujuh, naik daripada kedudukan kesembilan tahun lalu di dalam kategori pemimpin Islam dan ahli politik paling berpengaruh di dunia mendahului Prabowo (10) dan Presiden Mesir Abdel Fattah Saeed Al-Sisi (13).
Namun tahukah anda selain daripada pengiktirafan tersebut, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu juga pernah memperoleh pencapaian lain malah cukup membanggakan di peringkat antarabangsa.
Berikut kami senaraikan pencapaian antarabangsa lain yang pernah diraih Anwar sejak daripada awal penglibatannya dalam dunia politik sebagai pemimpin di Malaysia.
Menteri Kewangan Terbaik Asia
Anwar yang merupakan anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sepanjang tempoh perkhidmatan itu, Anwar diiktiraf sebagai Menteri Kewangan Terbaik oleh Asiamoney pada 1996 manakala Euromoney pula menamakan beliau sebagai antara empat menteri kewangan terbaik.
Bukan itu sahaja, wajah Anwar juga pernah beberapa kali dipaparkan di muka hadapan majalah antarabangsa terkemuka iaitu TIME termasuk pada Oktober 1998 susulan melakukan gerakan Reformasi.

TIME menamakan Anwar sebagai antara 100 individu berpengaruh dunia
Majalah TIME menyenaraikan Anwar yang kini bergelar Ahli Parlimen Tambun itu sebagai salah seorang daripada 100 tokoh paling berpengaruh pada tahun 2008 dalam kategori pemimpin politik dunia ketika menjadi Ketua Pembangkang.
Dalam laporan tersebut, Anwar yang merupakan tokoh politik Malaysia pertama menerima pengiktirafan itu digambarkan sebagai pemimpin Islam berpengaruh dalam memperjuangkan toleransi, demokrasi, dan hak asasi manusia.
Terima Anugerah Order of The Republic
Anwar menerima darjah kebesaran tertinggi Turkiye iaitu anugerah Order of the Republic sebagai pengiktirafan terhadap peranan beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan negara tersebut.
Anugerah itu disampaikan sendiri oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam satu majlis yang berlangsung di Kompleks Presiden, Ankara pada Januari lalu (2026) bersempena lawatan rasmi tiga hari Anwar ke republik tersebut.
Untuk rekod, Anwar juga pernah dipanggil sebagai pensyarah jemputan di beberapa institusi pengajian tinggi terkemuka dunia termasuk di Oxford, United Kingdom (UK) dan di John Hopkins University di Washington, Amerika Syarikat (AS) sebelum diangkat menjadi Perdana Menteri.
Baca juga: Ramai panik nak tukar IC baru 1 Jun ini, rupanya MyKad lama masih boleh guna!