Atok nenek pun jadi ‘burung hantu’, berjaga layan World Cup demi Ronaldo

Oleh KIM SYAZIE

Gelagat sepasang warga emas yang masih bersemangat menonton aksi World Cup mencuri perhatian orang ramai yang terhibur melihat gambar mereka duduk di ruang tamu sambil menghadap televisyen.

Lebih mencuit hati, warga emas itu dikatakan sanggup berjaga sejak awal pagi semata-mata mahu menyaksikan perlawanan melibatkan Cristiano Ronaldo.

Menerusi hantaran yang dikongsikan seorang pengguna media sosial, pasangan tersebut dikatakan sebagai peminat setia Ronaldo sehingga sanggup meminta cucu mereka datang membantu menghidupkan siaran perlawanan.

“POV atok nenek kau peminat Ronaldo. Siap telefon suruh buka World Cup sebab nak tengok Ronaldo. Dulu senang sebab ada Astro. Ini sekarang kena pasang modem, kena buka rtmklik.

“Perlawanan mula jam 7. Selepas Subuh atok cuba nak buka tapi tak dapat. Jadi terpaksa hubungi cucu dia. Nasib baik hari ini tak ada kelas, boleh lah datang tengok sama-sama,” kata pengguna tersebut.

Apa yang membuatkan ramai terhibur ialah kesungguhan pasangan warga emas itu yang tetap tidak mahu ketinggalan mengikuti perlawanan walaupun terpaksa mendapatkan bantuan cucu.

Ramai warganet menyifatkan situasi itu sebagai bukti bola sepak bukan sekadar minat orang muda, malah turut menjadi hiburan dan kenangan buat generasi lebih tua.

Baca juga: Malaysia terus main peranan konstruktif untuk perkukuh komuniti ASEAN – PM Anwar