Pernah bergelar Ketua Pengawas di MCKK, ini latar belakang pendidikan Anwar Ibrahim

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula menyandang jawatan pemimpin nombor satu negara itu pada 24 November 2022 selepas hampir 24 tahun melalui perjalanan penuh liku di arena politik.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dilantik selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga dikenali sebagai Bapa Reformasi Malaysia atas peranannya memimpin gerakan Reformasi sejak tahun 1998 untuk menuntut perubahan dalam sistem politik, keadilan dan tadbir urus negara.

Pemimpin berusia 79 tahun itu lahir di Ceruk Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan merupakan anak kepada pasangan suami isteri yang bergerak aktif dalam bidang politik melalui parti Umno.

Bapa Anwar iaitu Datuk Ibrahim Abdul Rahman adalah ahli politik Umno yang menang bertanding di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 1959 bagi kawasan Seberang Tengah, Pulau Pinang.

Ibunya pula, Che Yan Abdul Hamid Hussein adalah seorang suri rumah namun turut bergiat aktif dalam pentas politik pada masa yang sama sebagai ahli pidato Pergerakan Wanita Umno.

Anwar memulakan pendidikan awal pada sekitar tahun 1954 di Bukit Mertajam Boys School, Pulau Pinang dalam aliran Bahasa Melayu sebelum meneruskan persekolahan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Beliau bukan sahaja merupakan Ketua Pengawas di sekolah elit tersebut malah turut bergelar pemidato, wakil pembahas selain bergiat aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu.

Pada tahun 1968, Menteri Kewangan itu mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Melayu di Fakulti Sastera Universiti Malaya sebelum memulakan perjalanan politiknya.

Ketika bergelar mahasiswa, kepimpinan Anwar sudah mula menyerlah dengan menubuhkan Yayasan Anda Akademik (YAA) pada 1971 serta pengasas bersama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1972.

Baca juga: Nah senarai konsert zaman Pas perintah, aktivis tegur MP Bachok jangan hipokrit