Tular di media sosial beberapa hantaran amaran kepada penduduk sekitar Bukit Kemuning berhubung dakwaan cubaan culik dan penderaan melibatkan remaja di kawasan berkenaan.
Menerusi poster dan mesej yang dikongsikan, orang ramai diminta lebih berhati-hati serta mengambil langkah keselamatan terutama terhadap pelajar yang berjalan kaki atau bergerak bersendirian ke sekolah.
“Dimaklumkan bahawa tengah hari tadi telah berlaku satu kes jenayah melibatkan cubaan culik di kawasan persekitaran Bukit Kemuning,” menurut mesej tular tersebut.
Poster berkenaan turut memaparkan gambar seorang lelaki yang didakwa sebagai suspek selain mendakwa individu terbabit mempunyai rekod jenayah lampau termasuk merompak dan merogol.
Selain itu, amaran khas turut ditujukan kepada murid silat bawah 17 tahun, kanak-kanak yang tinggal bersendirian di rumah serta pelajar yang berjalan kaki ke sekolah.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya memastikan pintu rumah sentiasa berkunci, tidak membuka pintu kepada individu tidak dikenali serta segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya melihat perkara mencurigakan.
Lelaki berkenaan disahkan pernah terbabit kes rogol, kurung dan rompak seorang wanita, 18 tahun lalu lapor Berita Harian.
Terbaharu suspek diburu selepas mengurung, mendera dan meliwat seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol memaklumkan suspek sudah pun disabitkan dengan kesalahan-kesalahan berkenaan dan menjalani hukuman penjara pada 2008.
“Semakan dibuat memang suspek ada rekod jenayah lampau sepertimana dinyatakan dan juga telah terima hukuman,” katanya ringkas seperti dipetik Berita Harian.
Siasatan awal polis mendapati suspek memperdaya mangsa dengan mengajak remaja itu berbual dengan menawarkan satu pakej internet telefon bimbit, dengan syarat mangsa membantu mengangkat barang dalam rumah suspek.
Ramsay ketika ditanya mengenai usaha mengesan suspek, berkata sebarang perkembangan akan dimaklumkan.