Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan bahawa proses penukaran kad pengenalan kepada MyKad Struktur Baharu yang dijadual dilaksanakan bermula Jun ini tidak akan menjejaskan penyaluran bantuan kerajaan kepada rakyat.
Menerusi satu kenyataan media dikeluarkan pada 13 Mei 2026, JPN memaklumkan proses peralihan tersebut tidak akan mengganggu penebusan bantuan kerajaan yang menggunakan MyKad seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Menurut JPN, senarai nama penerima bantuan sedia ada dalam sistem juga akan kekal dan tidak tercicir sepanjang proses pertukaran dilakukan.
“Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab kegusaran segelintir pihak mengenai kemungkinan gangguan teknikal atau keciciran nama daripada senarai penerima bantuan susulan pelancaran MyKad Struktur Baharu pada Jun ini,” menurut kenyataan tersebut.
JPN turut menjelaskan pihaknya sudah menjalin kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan integriti data penerima bantuan kekal lancar dan utuh.
“Proses migrasi maklumat akan berlaku secara automatik dalam sistem pangkalan data pusat, sekali gus memastikan bantuan akan diterima kepada penerima yang layak,” jelas kenyataan itu lagi.
Selain itu, JPN memaklumkan MyKad Struktur Baharu hadir dengan ciri keselamatan baharu bagi memperkukuh proses pengesahan identiti penerima tanpa menjejaskan ekosistem sedia ada untuk tujuan subsidi dan bantuan kerajaan.
Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan khabar angin atau maklumat palsu yang mendakwa bantuan kerajaan akan dihentikan sekiranya MyKad tidak ditukar segera.
JPN berkata proses penukaran akan dilaksanakan secara berfasa dan maklumat lanjut berkaitan tatacara permohonan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Baca juga: PM Anwar hulur bantuan kepada pejuang kanser tahap 4, tabah jaga anak lahir pramatang