Sebentuk berlian biru-hijau seberat 5.5 karat mencipta rekod baharu selepas dijual pada harga AS$17 juta (kira-kira RM66.79 kuta) dalam satu acara lelongan anjuran Christie’s di Switzerland.
Menurut Christie’s, berlian tersebut ditemui di sebuah lombong di Afrika Tengah sekitar tahun 1990-an dan pernah dinamakan oleh Smithsonian Institution sebagai salah satu daripada lapan berlian paling jarang ditemui di dunia.
Memetik AFP, rumah lelong itu berkata batu permata berkenaan sangat sukar ditemui kerana gabungan warna biru-hijau yang unik serta tahap ketulenannya yang tinggi.
“Berlian dengan warna dan saiz seperti ini amat jarang ditemui. Tambahan pula ia adalah berlian jenis Ia, antara batu permata semula jadi paling tulen,” menurut kenyataan Christie’s.
Ketua Global Bahagian Barang Kemas Christie’s, Max Fawcett berkata berlian hijau semula jadi walaupun melebihi satu karat sudah dianggap sangat jarang.
“Untuk menemukan berlian seberat lima karat dengan kualiti dan warna seperti ini benar-benar luar biasa,” katanya.
Berlian berbentuk segi tiga itu dilaporkan bersaiz kira-kira kuku jari kelingking dan berjaya mencatat rekod baharu bagi kategori berlian biru-hijau dalam lelongan antarabangsa.
Fawcett turut memaklumkan batu permata sama pernah dijual pada tahun 2014 dengan harga AS$8.5 juta(RM33.39 juta) kepada seorang pengumpul persendirian dari Asia.
Baca juga: Kenapa Anwar Ibrahim digelar sebagai Bapa Reformasi? Ini fakta yang ramai tak tahu