Tahukah anda Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah bergelar guru dengan menjadi tenaga pengajar di sebuah institusi pendidikan terkenal suatu ketika dahulu iaitu Yayasan Anda Akademik (YAA).
Malah yayasan ditubuhkan pada tahun 1971 di Jalan Hamzah dan Jalan Stony di Kampung Baru, Kuala Lumpur itu sebenarnya diasaskan oleh pemimpin belia serta mahasiswa yang diketuai sendiri oleh Anwar.
Difahamkan, Anwar yang ketika itu baru berusia 23 tahun mengetuai penubuhan bertujuan untuk mendidik anak bangsa tersebut dengan bantuan daripada ahli perniagaan iaitu Daud Seman.
Melalui kerjasama tersebut, lahirlah sebuah institusi pendidikan hasil daripada gabungan nama Anwar dan Daud namun ‘Anda’ juga turut membawa makna pendidikan untuk semua.
Tujuan YAA ditubuhkan adalah untuk memberi peluang kedua kepada pelajar yang tercicir dalam pelajaran bagi mendapatkan pendidikan lebih menyeluruh sebelum menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Institusi ini menyediakan tiga sesi pembelajaran iaitu pagi, petang dan malam untuk pelajar tingkatan empat, lima serta enam melibatkan guru sukarelawan dalam kalangan penuntut universiti, pegawai kerajaan selain pensyarah.
Mereka yang memiliki kerja hakiki akan menjadi tenaga pengajar secara sukarela pada waktu malam agar anak bangsa meraih peluang pendidikan lebih terjamin dan mudah tanpa membebankan ibu bapa.
Hal ini kerana YAA bukan diasaskan dengan berorientasikan keuntungan selain tidak memberi keutamaan kepada akademik semata sebaliknya turut menyemai sifat kepimpinan dan idealisme dalam kalangan pelajar.
Institusi yang tidak menumpukan sistem peperiksaan ini juga menanamkan cita-cita murni kepada muridnya demi membina masyarakat yang akan memberikan sumbangan besar kepada agama, bangsa serta negara.
Sistem pendidikan di yayasan ini juga lebih menjurus kepada pembinaan sahsiah dan kerohanian malah silibus mata pelajaran juga berbeza dengan sekolah lain kerana YAA cukup menekankan prinsip Islam.
Para pelajar juga diwajibkan mengambil mata pelajaran ‘English Usage’ sebagai pendedahan awal buat para pelajar kepada bahasa lain sebelum melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.
Mereka juga diwajibkan untuk mengulang kaji buku penulisan sarjana Islam dan Barat di mana pelajar diberikan tugas untuk mengupas serta membahas semula isi kandungan rujukan itu selepas selesai dibaca.
Anwar selaku Pengarah YAA juga menggalakkan pelajar untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih murni dan turut menerapkan budaya pemakaian tudung dengan menggunakan kaedah pendekatan cukup berhemah.
Usaha inilah yang dikatakan mempelopori budaya pemakaian tudung di seluruh negara terutama di institusi pendidikan apabila pelajar berhijab mula memasuki kampus universiti di Malaysia selepas tamat pengajian di YAA.
Namun sayangnya, yayasan yang berjaya melahirkan ramai tokoh terkenal negara dalam kalangan alumninya itu terpaksa berhenti beroperasi pada tahun 2000 selepas pengasasnya dipenjarakan.
Baca juga: PM Anwar hulur sumbangan kepada pejuang kanser payudara tahap 4, tabah jaga 5 anak