PM Anwar hulur sumbangan kepada pejuang kanser payudara tahap 4, tabah jaga 5 anak

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan dan kotak makanan kepada pejuang kanser payudara tahap empat iaitu Juliana Nasaruddin di Balok Makmur, Kuantan.

Bantuan tersebut disampaikan melalui Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi dalam siri jelajah Ziarah MADANI Indera Mahkota.

Menerusi perkongsian di platform Facebook, Ahmad Farhan memaklumkan bahawa sumbangan itu disampaikan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan Perdana Menteri atas ujian menimpa Juliana dan keluarganya.

Juliana kini difahamkan sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan namun tetap tabah dalam menjaga lima anaknya bersama suami walaupun diuji dengan masalah kesihatan.

“Beliau tabah membesarkan dan menjaga lima orang anak bersama suami yang hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan demi menyara keluarga. Dalam keadaan diuji dengan masalah kesihatan, keluarga ini juga berdepan masalah bil tertunggak.

“Saya mengambil inisiatif memberikan sumbangan dalam membantu meringankan beban yang ditanggung. Saya turut sampaikan sumbangan dan kotak makanan mewakili YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam perkongsian itu.

Dalam hantaran sama, Ahmad Farhan juga meminta orang ramai mendoakan Juliana dan keluarga agar terus diberi kekuatan, dipermudahkan segala urusan, dikurniakan kesembuhan dan sentiasa berada dalam rahmat serta perlindungan Allah SWT.

Baca juga: Untungnya golongan asnaf Permatang Pauh! Anwar Ibrahim sumbang 80 lembu korban