PM Anwar umum kenaikan peruntukan RM4 bilion, puji prestasi kontraktor bumiputera

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan kenaikan Peruntukan Perolehan Kerja 2026 untuk kontraktor kecil Bumiputera khususnya gred G1 hingga G4 kepada RM4 bilion bagi tahun ini.

Kenaikan peruntukan daripada RM2.4 bilion itu bertujuan untuk memperkasa kontraktor kecil Bumiputera di negara ini di samping membantu merancakkan ekonomi setempat demi manfaat rakyat Malaysia.

Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu memaklumkan kerajaan Madani akan terus memberi kepercayaan kepada kontraktor kecil Bumiputera dengan prestasi terbaik.

Sehubungan dengan itu, dorongan tambahan diberikan kepada mereka supaya mampu berkembang dengan lebih jauh sekali gus menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya percaya tanpa dasar kerajaan yang jelas, tanpa sokongan yang mempermudah urusan dan membuka ruang peluang yang adil, kontraktor kecil sukar untuk berkembang serta bersaing secara mampan.

“Sebab itu, syarikat-syarikat kontraktor kecil yang membuktikan prestasi cemerlang akan terus diberi perhatian dan keutamaan supaya mereka berpeluang meningkatkan kapasiti, memperkukuh keupayaan serta melonjak ke tahap yang lebih tinggi.

“Justeru, saya mengumumkan kenaikan Peruntukan Perolehan Kerja 2026 bagi kontraktor gred G1 hingga G4 daripada RM2.4 bilion kepada RM4 bilion bagi tahun ini,” kata Ahli Parlimen Tambun itu dalam perkongsian tersebut.

Terdahulu, kenaikan peruntukan itu diumumkan Anwar dalam Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Negeri Perak, Ipoh semalam.

Sekadar info, peruntukan awal dalam Belanjawan 2026 ini adalah sebahagian daripada ikhtiar Kerajaan Madani untuk terus memperkasakan kontraktor kecil Bumiputera serta ekonomi setempat.

Baca juga: Amir Raja Lawak dedah cari rezeki dengan jual besi buruk, pesan jangan malu untuk berusaha