Pelawak dan usahawan, Amir Raja Lawak berkongsi pandangannya mengenai usaha mencari rezeki selepas memuat naik satu hantaran berkaitan individu yang didakwa meminta sumbangan kerana motosikal rosak dan tidak dapat bekerja.
Menerusi perkongsian di Facebook, Amir berkata dia memilih untuk mencari duit tambahan dengan menjual barangan di besi buruk.
“Cari duit tepi. Jual barang dekat besi buruk. Alhamdulillah dapat RM18,” kongsinya dalam hantaran di Facebook.
Menurutnya, dia tidak memahami sikap segelintir individu yang sanggup meminta sumbangan daripada orang ramai untuk membeli susu anak.
Malah ada yang beri alasan motosikal rosak sedangkan masih mampu berusaha mencari pendapatan sendiri.
“Tak cuba ke kutip tin, kutip kotak, cari besi untuk jual? Jalan kaki pun boleh, bawa kereta sorong ke,” tulisnya.
Dalam masa sama, Amir menegaskan tiada alasan untuk malu mencari rezeki secara halal walaupun pekerjaan dilakukan mungkin dipandang rendah oleh sesetengah pihak.
Katanya, setiap orang mempunyai cabaran hidup berbeza namun selagi masih memiliki kudrat dan tenaga, seseorang itu seharusnya terus berusaha.
“Takkanlah malu cari rezeki cara macam ni, tapi tak segan inbox orang lain minta sumbangan,” katanya lagi.
Baca juga: “Saya pernah jadi gelandangan, makan sisa orang” – Saiful Apek dedah kisah sebenar hidupnya