Sekumpulan pelancong Malaysia mendakwa berdepan detik cemas apabila dituduh tidak membayar makanan di sebuah restoran popular di Indonesia, walaupun mereka sudah membuat bayaran menggunakan kad bank.
Menerusi perkongsian pengguna Threads Ainmyunus, kejadian itu berlaku ketika mereka menikmati makanan di Restoran Pagi Sore pada 13 Mei lalu sebelum meneruskan perjalanan menaiki kereta api Whoosh ke Bandung.
Menurutnya, mereka makan berenam dan memesan kira-kira sembilan jenis lauk dengan jumlah keseluruhan sekitar Rp907,500.
Namun, tiga hari kemudian ketika mahu keluar dari hotel di Jakarta, pemandu pelancong mereka memaklumkan bahawa pihak restoran didakwa telah menularkan dakwaan kononnya kumpulan tersebut meninggalkan premis tanpa membuat bayaran.
“Kami memang bayar. Masa makan tu cuma bergurau nak lari sorang-sorang sebab nak kenakan kawan yang kena bayar. Bukannya betul-betul tak bayar,” katanya.
Susulan itu, mereka segera mencari semula resit pembayaran sambil mengemukakan bukti transaksi kad bank kepada ejen pelancongan bagi membuktikan bayaran telah dibuat.
Selepas menyelongkar beg, kumpulan itu akhirnya berjaya menemukan semula resit berkenaan.
Ain turut mengakui mereka bernasib baik kerana pembayaran dibuat menggunakan kad bank dan masih mempunyai bukti transaksi.
“Bayangkan kalau bayar tunai dan resit hilang, memang susah nak buktikan,” katanya lagi.
Difahamkan, pihak pengurusan restoran kemudian mengakui berlaku salah faham selepas semua bukti pembayaran dikemukakan.
Malah, satu surat klarifikasi dan permohonan maaf turut dikeluarkan pihak restoran kepada pihak travel dan pelancong terlibat bagi menjernihkan keadaan.
Dalam pada itu, Ain mempersoalkan bagaimana kumpulan mereka boleh dituduh sedemikian selepas beberapa hari kejadian berlaku.
“Kenapa kami yang kena tuduh? Apa motif sebenar masih jadi tanda tanya,” ujarnya.
Dia pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyimpan resit atau bukti pembayaran terutama ketika melancong ke luar negara bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Bukan nak burukkan mana-mana pihak, cuma nak buat awareness supaya simpan resit walau bayar cash sekali pun,” katanya.
Dalam surat klarifikasi yang tular, pihak Restoran Pagi Sore memohon maaf atas salah faham yang berlaku berkaitan pembayaran pelanggan travel di restoran mereka.
“Kejadian tersebut terjadi kerana miskomunikasi dan bukan merupakan unsur kesengajaan dari pihak mana pun.
“Kami berharap permasalahan ini dapat diselesaikan dengan baik serta komunikasi kita berjalan baik,” menurut kenyataan itu.
Pihak restoran turut mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan pengertian semua pihak berhubung isu berkenaan.
Baca juga: Lelaki kongsi sebab kenapa Honda mungkin ‘bungkus’ di Malaysia dalam lima tahun lagi