PM Anwar ucap takziah, maklum kerajaan pandang serius insiden pekerja pelantar minyak maut

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga tiga pekerja kontraktor yang maut dalam insiden di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan semalam.

Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu turut mengirimkan doa agar seorang lagi mangsa dilaporkan cedera parah dan sedang menerima rawatan di hospital dikurniakan kesembuhan dengan segera.

Perkara itu dizahirkan Anwar menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun X miliknya sebagai maklum balas kepada satu laporan media berhubung insiden maut melibatkan pekerja kontraktor syarikat Petronas.

Beliau juga memaklumkan bahawa pihak kerajaan memandang serius insiden tersebut dan akan memastikan bahawa aspek keselamatan pekerjaan sentiasa diperkukuh demi melindungi kebaikan mereka.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi dugaan yang amat berat ini dan moga mangsa yang sedang menerima rawatan dikurniakan kesembuhan segera.

“Kerajaan memandang serius insiden ini dan yakin siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan oleh pihak berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian serta memastikan aspek keselamatan pekerjaan sentiasa diperkukuh demi melindungi kebajikan para pekerja negara,” katanya dalam perkongsian itu.

Terdahulu, kejadian dilaporkan berlaku pada sekitar jam 12.50 tengah hari ketika semua mangsa dipercayai menaiki sebuah bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut.

Hal ini berikutan mereka perlu menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform namun tali atau cangkuk yang dipasang pada bot itu dipercayai tercabut menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut.

Mangsa yang maut adalah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Batu Berendam, Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, (Kuantan, Pahang); dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, (Bandar Indera Mahkota, Pahang).

Manakala seorang lagi mangsa iaitu Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan mengalami kecederaan parah dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Baca juga: Mat Sabu galak rakyat bela ayam, tanam cili demi jimat belanja dapur