Tular di media sosial sejak semalam satu notis rasmi yang dikaitkan dengan Hospital Segamat sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai bahawa hospital berkenaan bakal ditutup.
Menurut notis bertarikh 3 Jun 2026 itu, Jabatan O&G Hospital Segamat sedang berdepan krisis kekurangan pegawai perubatan yang kritikal, sekali gus menjejaskan kapasiti optimum jabatan dalam mengendalikan kes rujukan dan penjagaan pesakit.
Notis berkenaan memaklumkan bahawa Klinik Pakar O&G Hospital Segamat akan ditutup sementara bermula 1 Julai 2026.
Dakwaan yang tersebar secara dalam talian pula menyebut hospital utama di daerah Segamat itu akan berhenti menerima rujukan daripada klinik bermula bulan ini sebelum ditutup sepenuhnya pada bulan depan.
Susulan penularan notis tersebut, ramai petugas kesihatan tampil meluahkan kebimbangan mengenai tekanan yang sedang dihadapi sektor kesihatan awam.
Bagaimanapun, maklumat yang diperoleh portal New Straits Times menunjukkan situasi sebenar mungkin tidak seteruk digambarkan di media sosial.
Memetik laporan portal berbahasa Inggeris itu, seorang doktor di Hospital Segamat yang enggan dikenali menjelaskan bahawa hospital berkenaan tidak ditutup, sebaliknya sedang melaksanakan langkah pengurusan kapasiti bagi perkhidmatan O&G.
“Ia bukan isu penutupan hospital. Apa yang sedang dibincangkan ialah rujukan bagi kes O&G tertentu dari hospital luar Johor yang kerap dihantar ke hospital ini.
“Kebimbangannya ialah jika jumlah pesakit terus meningkat sedangkan tenaga kerja dan kemudahan kekal terhad, ia boleh menimbulkan cabaran operasi serta menjejaskan penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata, pesakit dari Muadzam Shah, Pahang dan Tampin serta Gemas, di Negeri Sembilan mungkin akan dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan di hospital dalam negeri masing-masing.
Sebagai contoh, katanya, pesakit dari Muadzam Shah boleh dirujuk ke hospital di Kuantan, manakala kes dari Tampin dan Gemas boleh dihantar ke hospital di Seremban.
BH melaporkan, kontroversi ini timbul ketika isu kekurangan tenaga kerja dan beban tugas di fasiliti kesihatan awam terus mendapat perhatian pada peringkat nasional, khususnya dalam perkhidmatan pakar yang berdepan peningkatan permintaan pesakit.
Sehingga penjelasan rasmi dikeluarkan, pihak berkuasa kesihatan menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi dan mengelak penyebaran maklumat yang belum disahkan kerana boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pesakit serta keluarga mereka.
Baca juga: “Makcik siap transfer duit, tak bagi suami tengok telefon” – Ramai risau takut ‘love scam’