‘Tiada lagi orang akan ingat Nabi Muhammad SAW’ – Ahli AI Team akui salah, dakwa hanya kiasan

Oleh MALAYSIADATELINE

Satu video sekumpulan lelaki dipercayai menghasilkan kandungan berunsur lawak berkaitan Nabi Muhammad SAW mengundang kecaman netizen selepas tular di media sosial.

Menerusi video berkenaan, seorang lelaki didakwa mengeluarkan kenyataan berbunyi, “2026 saya menjangkakan, tiada lagi orang akan ingat Nabi Muhammad SAW,” sebelum beberapa individu lain dilihat ketawa.

Perkongsian itu kemudian mencetuskan kemarahan orang ramai yang menganggap kandungan berkenaan melampaui batas dan tidak sensitif terhadap agama Islam.

Seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Hisham Buyong turut meluahkan rasa kecewa dan berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kandungan tersebut.

“Korang tahu pasal AI Team yang didakwa buat lawak pasal Nabi Muhammad SAW? Ramai anggap benda ni dah melampaui batas,” tulisnya.

Menurutnya lagi, dia sendiri tidak membenarkan anak-anak menonton kandungan sedemikian kerana bimbang memberi pengaruh tidak baik.

“Sebab tu aku tak bagi anak-anak tengok content macam ni. Harap pihak berkuasa siasat dan ambil tindakan sewajarnya jika ada pelanggaran,” katanya lagi.

Ruangan komen turut dipenuhi pelbagai reaksi netizen yang rata-rata meminta semua pihak lebih berhati-hati dalam menghasilkan kandungan hiburan terutama membabitkan sensitiviti agama dan tokoh Islam.

Susulan kecaman diterima, individu dipercayai terlibat dalam video berkenaan tampil memohon maaf secara terbuka menerusi satu hantaran di media sosial.

Dalam permohonan maaf tersebut, lelaki dikenali sebagai Muhammad Syahmie mengakui kenyataan dikeluarkannya adalah satu kesalahan besar,

Malah dia menjelaskan niat asalnya hanyalah untuk menyampaikan sindiran secara kiasan agar masyarakat saling mengingati tentang agama Islam.

“Saya akui itu adalah kesalahan yang terbesar saya sepanjang saya berada di dalam AI Team ini,” tulisnya.

Menurutnya lagi, dia masih lagi waras dan tidak pernah berniat menghina atau mempermainkan agama sendiri, namun mengakui kata-kata yang digunakan mungkin disalah tafsir sesetengah pihak.

“Di sini saya salah tetap salah dan saya betul-betul minta maaf atas khilaf saya sebelum ini,” katanya lagi.

Dia turut berterima kasih kepada semua pihak yang menegur tindakannya serta berharap dapat belajar daripada kesilapan tersebut pada masa akan datang.

Baca juga: Dakwaan Hospital Segamat bakal ditutup cetus kebimbangan, doktor bertugas jelaskan apa berlaku