“Ingat datang kemas rumah…” – Wanita terkejut jumpa dompet ibu dalam beg pekerja

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang pengguna Threads meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa individu yang diupah untuk membersihkan rumah ibu bapanya dipercayai cuba mencuri ketika menjalankan kerja pembersihan di sebuah kediaman di Puchong.

Menurut individu dikenali sebagai Fatin (@Faarsln), dia mula berasa curiga dengan tindakan pekerja terbabit yang sering membawa beg ke mana-mana setiap kali dia bergerak di dalam rumah.

“Aku pelik kenapa bila aku pergi dapur, dia bawa beg dia ke depan. Bila aku duduk depan, dia bawa beg dia pergi dapur.

“Tup-tup tadi masa dia cuci bilik air, aku tergerak nak tengok beg dia. Nohhh aku nampak beg duit mak aku dalam beg dia,” tulisnya di Threads.

Tidak mahu keadaan menjadi lebih tegang, dia bertindak mengambil semula dompet tersebut secara senyap sebelum menghubungi ejen pekerja berkenaan.

“Tak cakap banyak, aku terus ambil simpan. Aku call ejen dia suruh ambil dia sekarang,” katanya lagi.

Menurut Faarsln, tujuan dia mengupah khidmat pembersihan rumah itu adalah kerana ibu bapanya baru pulang daripada menunaikan ibadah haji selepas hampir dua bulan meninggalkan rumah tersebut.

Dia yang menetap di Melaka sanggup bertolak seawal jam 5 pagi demi memastikan rumah ibu bapanya berada dalam keadaan bersih, kemas dan selesa sebelum mereka pulang pada malam hari.

“Niat di hati tu nak make sure rumah bersih, kemas, wangi bila dorang balik malam nanti. Tak payah penat-penat fikir nak kemas rumah,” ujarnya.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku membuatkan dia berasa amat kecewa dan penat dengan situasi tersebut.

“Kenapa aku tak marah on the spot? Aku dah tak ada tenaga langsung.

“Aku gerak dari Melaka pukul 5 pagi sampai Puchong 7.30 pagi sebab janji dengan ejen pukul 8 pagi start kemas rumah. Aku penatlah dengan semua ini,” luahnya.

Perkongsiannya itu kemudian mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan khidmat pekerja pembersihan rumah daripada pihak tidak dikenali.

Baca juga: Sheila Rusly buat netizen ‘jealous’ lagi, kongsi momen anak menantu suka lepak bilik mentua