Fokus tarik pelaburan berkualiti, PM Anwar bertemu 6 syarikat peneraju industri di Jepun

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan enam syarikat utama Jepun dan antarabangsa dalam rangka kunjungan rasmi beliau ke negara itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu memaklumkan bahawa syarikat yang terlibat adalah IBM Corporation, Mitsubishi Corporation, ENEOS Corporation, Shizen Energy Inc., DENSO Corporation dan Marubeni Corporation.

Syarikat tersebut adalah peneraju dunia dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi perkomputeran termaju, automotif berteknologi tinggi, tenaga dan infrastruktur serta pembangunan tenaga boleh baharu.

Menerusi kenyataan di platform Facebook, Anwar menekankan bahawa kerjasama ini penting untuk memperkukuh daya tahan ekonomi serta keterjaminan bekalan negara tatkala dunia sedang berdepan krisis bekalan dan tenaga global.

“Perbincangan tertumpu kepada potensi kerjasama dan peluang pelaburan baharu dalam sektor strategik seperti tenaga, industri halal, AI, pusat data, teknologi digital dan industri masa hadapan.

“Fokus kita adalah untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, memperkasa ekosistem berteknologi tinggi negara, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat serta memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-Jepun yang telah terjalin sejak sekian lama.

“Saya percaya keyakinan yang ditunjukkan syarikat-syarikat terkemuka Jepun terhadap Malaysia mencerminkan kedudukan negara kita yang semakin diyakini sebagai destinasi pelaburan strategik di rantau ini, khususnya dalam sektor yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi masa depan,” katanya.

Sekadar info, kunjungan Anwar selama tiga hari ke Jepun adalah atas jemputan Perdana Menteri negara itu, Sanae Takaichi untuk membincangkan kerjasama dua hala serta pelbagai isu serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama..

 Jepun adalah salah satu rakan kongsi ekonomi penting buat Malaysia sebagai rakan dagang kelima terbesar negara sejak 2024 dengan jumlah perdagangan dua hala sebanyak US$33.39 bilion (RM142.96 bilion) direkodkan pada tahun lalu.

Baca juga: Kerajaan salur bantuan BUDI MADANI Diesel hari ini! Penerima layak dapat RM400