TAGS beri harapan baharu kepada mangsa gangguan seksual, aduan kini lebih mudah dan cepat

Oleh MALAYSIADATELINE

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) telah ditubuhkan secara rasmi pada 8 Mac 2024 selaras dengan Seksyen 3 Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840].

Menurut kementerian itu, tribunal berkenaan dikawal selia di bawah Akta 840 serta Peraturan-Peraturan Antigangguan Seksual (Tribunal bagi Antigangguan Seksual) 2024 [P.U.(A) 80/2024].

Sebelum penubuhan TAGS, mangsa gangguan seksual hanya boleh memfailkan tuntutan atau saman sivil terhadap pelaku di mahkamah bagi mendapatkan pampasan atau tebus rugi susulan trauma dan kerugian dialami.

Bagaimanapun selepas penubuhan tribunal tersebut, mangsa kini mempunyai pilihan sama ada memfailkan aduan melalui TAGS ataupun meneruskan tindakan saman sivil di mahkamah.

Menurut KPWKM, penubuhan tribunal berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memperkukuh sistem perundangan negara selain mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan kondusif kepada masyarakat.

“Penubuhan TAGS ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menambah baik sistem perundangan negara sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan kondusif untuk masyarakat,” menurut kenyataan tersebut.

Berdasarkan garis masa yang dikongsikan kementerian itu, Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai 2022 sebelum diluluskan di Dewan Negara pada Ogos tahun sama.

Akta berkenaan kemudiannya menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan sebagai Akta Antigangguan Seksual 2022.

Sepanjang tahun 2024 pula, beberapa perkembangan penting direkodkan termasuk pelantikan anggota tribunal, pendengaran pertama kes TAGS serta pengeluaran award pertama tribunal berkenaan.

Malah bermula 1 Januari 2026, aduan gangguan seksual juga boleh dibuat secara dalam talian menerusi sistem e-TAGS yang diperkenalkan bagi memudahkan proses aduan.

Baca juga: Fokus tarik pelaburan berkualiti, PM Anwar bertemu 6 syarikat peneraju industri di Jepun