Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Rafizi Ramli akhirnya tampil mendedahkan punca sebenar sumber dana Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi menjawab spekulasi orang ramai berhubung perkara itu.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan menjelaskan bahawa penyumbang terbesar parti politik diambil alih olehnya itu adalah dirinya sendiri.
Penjelasan dibuat untuk menjawab fitnah pihak tertentu berkaitan sumber dana Bersama termasuk dakwaan parti itu dibiayai keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan isterinya, Toh Puan Na’imah.
Berikut kami rangkumkan aliran dana dan jumlah perbelanjaan parti tersebut berdasarkan perkongsian dimuat naik Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu akaun Facebook miliknya.
1. Sumber peribadi Rafizi
Menurutnya, perbelanjaan terbesar Bersama setakat ini adalah melibatkan acara pelancaran parti pada 17 Mei lalu yang keluar dari ‘poket’ Rafizi sendiri yakni kos pembiayaan mencecah RM30,000.
Beliau juga membayar deposit sekitar RM50,000 untuk Ibu Pejabat Bersama di Puchong manakala perbelanjaan lain ditampung melalui hutang dan akan dibayar secara ansuran sementara menerima yuran dari ahli serta sumbangan.
2. Pembiaya terdiri daripada rakyat Malaysia
Sekitar 27,000 rakyat Malaysia yang terdiri daripada ahli-ahli parti turut menjadi pembiaya Bersama dengan jumlah keseluruhan RM750,000 termasuk melalui bayaran yuran keahlian seumur hidup sebanyak RM20.
Dana itu juga terkumpul melalui pembelian cenderamata (merchandise) Bersama daripada 1,102 orang sehingga stok habis selain sumbangan kutipan dana awam (crowdfunding) kepada parti daripada 2,003 individu.
Jumlah dana ini digunakan sebagai modal membiayai Jelajah Kancil, menempah barangan, membayar ansuran infrastruktur digital, mengubah suai ibu pejabat, menempah bahan kempen dan lain-lain.
3. Majlis kutipan dana
Bersama akan menganjurkan majlis kutipan dana pada 27 Jun ini dengan jualan tiket Platinum (RM2,000 seorang atau RM18,000 semeja), Gold (RM1,000 seorang atau RM10,000 semeja), Silver (RM500 seorang atau RM5,000 semeja) dan Standard (RM150 seorang atau RM1,500 semeja).
Parti itu juga akan melancarkan kempen dana bagi membiayai program khusus, iaitu sewaan dua trak kempen Bersama untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan dan kempen berterusan hingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Rafizi memaklumkan bahawa dana yang terkumpul melalui kutipan itu akan digunakan untuk mengubah suai ibu Pejabat Bersama dan kos bahan kempen seperti bendera serta poster.
Baca juga: Penduduk didakwa pasang kain rentang protes isu jalan, persoal mana Adun Pengkalan Kubor & MP Tumpat