Polis Negeri Sembilan menggerakkan hampir 6,000 anggota dan pegawai termasuk pasukan bantuan sokongan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, seramai 5,953 petugas keselamatan akan ditempatkan sepanjang tempoh pilihan raya bagi memastikan keadaan kekal aman, terkawal dan proses demokrasi berjalan lancar lapor Bernama.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, 4,845 melibatkan pegawai kanan serta anggota polis, manakala selebihnya terdiri daripada pasukan bantuan termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Pasukan Sukarelawan Polis.
Katanya, pelbagai persiapan telah dilakukan lebih awal membabitkan aspek keselamatan, kawalan trafik dan pemantauan aktiviti kempen oleh parti politik.
“Kami berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi menerusi pelbagai persiapan rapi yang disusun dari awal termasuk aspek keselamatan, kawalan lalu lintas, pemantauan aktiviti kempen, penguatkuasaan undang-undang dan sebarang kemungkinan sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya seperti dipetik Bernama.
Beliau berkata, pihaknya turut melakukan penilaian semasa dari semasa ke semasa termasuk kemungkinan mendapatkan bantuan tambahan daripada kontinjen lain sekiranya keadaan memerlukan.
Dalam perkembangan sama, Alzafny berkata polis tidak akan menghalang mana-mana pihak menjalankan kempen selagi mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Katanya, kawalan keselamatan akan diperketat terutama melibatkan ceramah politik, perarakan dan program berkaitan pilihan raya bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Beliau memaklumkan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang mencetuskan provokasi, menyebarkan ketegangan atau melakukan perkara yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Beliau pada masa sama mengingatkan semua parti politik, calon serta penyokong supaya mengamalkan kempen secara matang dan menghormati perbezaan pendapat.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu atau melakukan tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat sepanjang musim pilihan raya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan, manakala penamaan calon pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai.
Baca juga: PM Anwar tak nafi ada unsur khianat, usaha jatuhkan kerajaan Negeri Sembilan