Anwar ‘sound’ pihak kejar teknologi tapi abaikan rakyat susah

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kemajuan sesebuah negara tidak seharusnya hanya diukur melalui kepesatan teknologi atau kemegahan pembangunan semata-mata.

Sebaliknya ia perlu dirasai secara langsung oleh rakyat bawahan termasuk nelayan, petani dan keluarga yang bergelut demi masa depan anak-anak.

Menurut beliau, sesuatu bangsa hanya akan benar-benar terangkat martabatnya apabila hasil pembangunan negara dapat dinikmati golongan yang paling memerlukan.

“Nelayan yang menongkah samudera, petani yang mengusahakan sawah dan bendang serta keluarga yang menaruh harapan tinggi kepada masa depan anak-anak mereka tidak boleh dipinggirkan dalam arus pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program bersama nelayan, petani dan warga setempat di Muar, Johor, semalam.

Anwar turut menegaskan bahawa tanggungjawab kerajaan bukan sekadar menarik pelaburan asing atau memperkukuh ekonomi negara, tetapi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan berpaksikan nilai ihsan, keadilan dan keprihatinan terhadap rakyat.

Katanya, pembangunan yang sebenar ialah pembangunan yang mempunyai jiwa dan nilai kemanusiaan, bukan hanya tertumpu kepada angka pertumbuhan ekonomi semata-mata.

“Selagi amanah ini dipikul, kerajaan akan terus berusaha membangunkan Malaysia yang bukan sahaja makmur, tetapi juga lebih adil, manusiawi dan berjiwa,” katanya lagi.

Baca juga: Patutlah kadar inflasi Malaysia terkawal, ini langkah campur tangan kerajaan yang ramai tak tahu