Tular di media sosial luahan seorang ibu yang mempertikaikan tindakan seorang guru menolak markah latihan Sains Tahun 1 anaknya hanya kerana menggunakan warna merah yang dianggap tidak cukup terang.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di Threads, tangkap layar dikongsi Cikgu Kamil antara seorang guru dan ibu kepada pelajar darjah 1 menyita perhatian ramai.
“Cikgu-cikgu, jangan buli murid macam ni cikgu.. Jangan complicated sangat.. Merah adalah merah..
“Jangan sampai PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) betul ke cikgu rigid macam ni? Takut nanti jawapan murid lain cikgu tak tanda sama macam cikgu tanda murid ni,” ujar Cikgu Kamil.
Wanita berkenaan mendakwa anaknya kehilangan lima markah dalam satu latihan pengelasan benda hidup dan benda bukan hidup walaupun konsep jawapan yang diberikan adalah betul.
Berdasarkan gambar kertas latihan yang dikongsi, murid diminta mewarnakan benda hidup dengan warna kuning dan benda bukan hidup dengan warna merah.
Namun, guru berkenaan didakwa menandakan satu jawapan sebagai salah kerana murid menggunakan warna merah gelap atau ‘merah hati’ berbanding warna merah terang yang dikehendaki.
Menurut tangkap layar perbualan yang dikongsi, ibu murid tersebut menjelaskan bahawa anaknya telah mengasingkan semua objek dengan betul mengikut arahan soalan, malah jawapan bertulis di bahagian bawah juga tepat.
“Mungkin warnanya agak gelap atau merah hati, tetapi fokus utama subjek Sains Tahun 1 adalah pengelasan benda hidup dan benda bukan hidup.
“Anak saya telah memahami konsep yang diajar,” katanya.
Guru berkenaan bagaimanapun menjelaskan markah ditolak kerana murid tidak menggunakan warna merah yang terang seperti diarahkan.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dengan ramai mempersoalkan sama ada penilaian terhadap murid sekolah rendah sepatutnya lebih menumpukan kepada kefahaman konsep berbanding ketepatan tona warna yang digunakan.
“Rumitnya perghhh. Skema jawapan pun rasanya tak macam tu. Adoi.
“Sedangkan budak tak sempat jawab atau kosong pun kita bagi peluang lagi jawab, pulangkan semula kertas. Ni pulak warna yang memang jelaslah merah,” antara komen netizen.
Baca juga: Tuanku Muhriz ingatkan jangan tamak, berebut kuasa