Tuanku Muhriz ingatkan jangan tamak, berebut kuasa

Oleh KIM SYAZIE

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan semua pihak untuk tidak membiarkan perebutan kuasa dan ketamakan mengganggu kedamaian yang dinikmati bersama.

Baginda bertitah supaya pemimpin meletakkan kepentingan negeri dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.

“Janganlah kita membiarkan perebutan kuasa dan ketamakan mengganggu kedamaian serta ketenteraman yang dinikmati bersama.

“Setiap pemimpin hendaklah sentiasa melaksanakan amanah dengan penuh integriti serta meletakkan kepentingan negeri dan rakyat mengatasi segala pertimbangan lain,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan malam tadi memetik Kosmo!.

Baginda bertitah, semakin tinggi kedudukan seseorang pemimpin, semakin besar amanah dan tanggungjawab yang dipikul.

Dalam pada itu baginda turut mengingatkan, setiap maklumat yang diterima menerusi media sosial perlu disemak kesahihannya terlebih dahulu sebelum disebarkan bagi mengelakkan penularan fitnah, kekeliruan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam. 

Baca juga: Ketika dunia risau krisis makanan, Malaysia sudah mula langkah strategik di Uzbekistan