Dokumen dimeterai dalam lawatan PM Anwar ke Turkmenistan perkukuh kerjasama bidang strategik

Oleh MALAYSIADATELINE

Kunjungan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan menyaksikan pertukaran dokumen penting yang menjadi pemangkin kepada pengukuhan kerjasama strategik Malaysia dengan negara itu.

Menurut Anwar, kesemua dokumen itu mencerminkan kesepakatan Malaysia dan Turkmenistan untuk membina hubungan dua hala yang lebih tersusun, progresif dan saling melengkapi serta berteraskan kepentingan strategik.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menjelaskan bahawa kerjasama antara kedua-dua buah negara dengan merentasi pelbagai bidang keutamaan tersebut dijangka memberi manfaat jangka panjang khususnya kepada rakyat.

Berikut adalah antara pertukaran dokumen dan pemeteraian Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dan disaksikan Anwar dan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov dalam lawatan itu;

  • MoU antara Akademi Sains Malaysia dan Akademi Sains Turkmenistan
  • MoU antara pihak berkuasa penerbangan Malaysia dan Turkmenistan
  • MoU antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Turkmenistan mengenai latihan diplomat
  • Perjanjian Perkhidmatan Udara antara Malaysia dan Turkmenistan
  • Pengumuman MoU antara Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Turkmenistan
  • Kenyataan Bersama Malaysia–Turkmenistan

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Anwar menegaskan iltizam bersama kepimpinan Turkmenistan dalam memastikan setiap kerjasama yang telah dimeterai dilaksanakan secara berdisiplin, telus dan berkesan.

“Mendoakan agar hubungan persahabatan terjalin kukuh antara Malaysia dan Turkmenistan akan terus mekar, diperkasa dengan kepercayaan yang mendalam dan saling menghormati, Insya-Allah.” Ujar Anwar dalam perkongsian itu.

Baca juga: Menjelang pengumuman calon PRN Johor, Mat Sabu seru PH Johor kekal bersatu