Menjelang pengumuman calon PRN Johor, Mat Sabu seru PH Johor kekal bersatu

Oleh MALAYSIADATELINE

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru semua komponen Pakatan Harapan (PH) di Johor agar terus memperkukuh semangat setiakawan dan menerima calon-calon yang akan diumumkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, pilihan raya bukan sekadar soal menang atau kalah, sebaliknya lebih penting untuk memastikan kestabilan politik terus terpelihara demi kepentingan rakyat serta pembangunan negeri.

Menurutnya, PH akan menghadapi PRN Johor sebagai satu pasukan yang mantap dan setiap parti dalam gabungan perlu bekerja keras bukan sahaja untuk memenangkan parti sendiri, malah membantu kemenangan rakan-rakan dalam PH.

“Dalam sebuah gabungan, semangat kerja berpasukan mesti diutamakan.

“Semua pihak perlu menerima dengan hati terbuka calon-calon yang akan diumumkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan pada Isnin ini,” katanya.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya AMANAH Johor Zon Selatan di Dewan KPIP, Taman Universiti, Skudai, malam tadi.

Beliau turut mengingatkan calon-calon AMANAH yang bakal diberikan mandat oleh rakyat supaya menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah, jujur dan berintegriti.

Katanya, wakil rakyat yang dipilih perlu terus istiqamah bersama perjuangan parti serta memberikan khidmat terbaik kepada rakyat sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

“Semoga rakyat Johor terus mendapat manfaat daripada kestabilan politik dan pentadbiran yang baik,” katanya.

Baca juga: PM Anwar anggap diaspora Malaysia ‘duta tak rasmi’, bantu cipta reputasi dan imej negara