Selepas 30 tahun, ini inti pati perjanjian kerjasama baharu Petronas dengan Turkmenistan

Oleh MALAYSIADATELINE

Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memulakan operasinya di Turkmenistan pada 1996 sebagai salah sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa terawal yang bertapak di negara tersebut sekitar 30 tahun lalu.

Kerjasama dua hala ini bagaimanapun merekodkan perkembangan cukup luar biasa dengan pemetraian perjanjian baharu dalam rangka kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu.

Pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan keyakinan tinggi negara itu terhadap kemampuan Malaysia sebaliknya turut membuka peluang kepada Petronas untuk terlibat dalam pembangunan antara medan gas terbesar di dunia.

Menerusi perkongsian di platform Facebook, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu mendedahkan dokumen dimetrai berhubung perjanjian ini yang disaksikan beliau bersama Presiden Turkmenistan, Presiden Serdar Berdimuhamedov.

  • Perjanjian Rangka Kerja antara Kerajaan Turkmenistan dan Kerajaan Malaysia mengenai Kerjasama Jangka Panjang bagi Pembangunan Sumber Hidrokarbon Turkmenistan.
  • Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (Production Sharing Agreement, PSA) bagi Blok 19 dan Blok 20 antara PETRONAS dan State Concern Turkmennebit serta State Enterprise Hazarnebit.
  • Perjanjian Kerjasama (Cooperation Agreement, CA) bagi Pelaksanaan Kajian Seismik 2D untuk Blok-Blok Luar Pesisir Utara antara PETRONAS dan State Concern Turkmennebit.

Berdasarkan PSA yang dimeterai, pihak Petronas akan memperoleh kepentingan penyertaan 100 peratus bagi Blok 19 dan 20, sekali gus menandakan kemasukan syarikat petroleum negara itu ke kawasan eksplorasi baharu di Turkmenistan.

Manakala CA pula membolehkan pengumpulan data seismik baharu bertujuan untuk menutup jurang data sedia ada serta membolehkan penilaian yang lebih menyeluruh terhadap blok luar pesisir utara.

Perjanjian Kerjasama Jangka Panjang ini pula membuka peluang pembangunan Medan Galkynysh iaitu antara medan gas terbesar di dunia, selain potensi dalam sektor hiliran dan industri berkaitan termasuk penapisan minyak, pemprosesan gas serta bahan kimia berasaskan gas.

Anwar dalam perkongsian itu memaklumkan bahawa hubungan Malaysia dan Turkmenistan hari telah berkembang jauh melangkaui sektor minyak dan gas dengan melandaskan kepercayaan dan persahabatan yang terbina sekian lama.

Kedua-dua negara kini komited untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang strategik termasuk pendidikan, TVET, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan pembangunan modal insan.

“Saya yakin kesepakatan yang dicapai akan membuka lembaran baharu dalam hubungan kedua-dua negara, sekali gus menjadi contoh bagaimana Negara-Negara Selatan (Global South) dapat membina kerjasama yang saling menguntungkan demi kemajuan dan kemakmuran rakyat.” Ujarnya.

Baca juga: ‘Tiada kaitan dengan drama Korea’ – Asyraf Wajdi perjelas asal-usul projek warden bekas tentera