Kerajaan menegaskan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel merupakan langkah penting bagi memastikan bantuan yang disediakan benar-benar dinikmati rakyat Malaysia.
Ini juga adalah untuk mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan yang membebankan kewangan negara.
Menerusi perkongsian di media sosial, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan pelaksanaan dasar itu dibuat bagi memastikan subsidi diesel disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan perbelanjaan kerajaan.
Menurut kementerian itu, sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi, sistem subsidi pukal turut dinikmati oleh warga asing, syarikat besar dan pihak yang tidak layak, selain mewujudkan jurang harga yang membuka ruang kepada kegiatan penyeludupan diesel.
MOF turut menjelaskan krisis di Asia Barat sebelum ini menyebabkan beban subsidi kerajaan meningkat dengan ketara, sekali gus menuntut pendekatan baharu bagi memastikan perbelanjaan subsidi lebih mampan.
Melalui mekanisme baharu, harga diesel tanpa subsidi ditetapkan mengikut harga pasaran, manakala rakyat yang layak terus menikmati diesel bersubsidi menerusi penggunaan MyKad di bawah inisiatif BUDI MADANI.
Kerajaan menganggarkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel mampu menjimatkan kira-kira RM2 bilion setahun, dengan sebahagian daripada penjimatan itu dimanfaatkan untuk memastikan harga diesel bersubsidi kekal rendah kepada kumpulan sasar.
Di bawah sistem sedia ada, pemilik kenderaan diesel persendirian yang memenuhi syarat akan menerima kuota automatik 200 liter diesel bersubsidi sebulan.
Manakala pemilik jip dan pikap yang layak boleh memohon tambahan kuota sehingga 300 liter sebulan.
Kerajaan menegaskan pendekatan itu bukan sahaja membantu mengurangkan ketirisan, malah memastikan wang rakyat digunakan dengan lebih berkesan untuk golongan yang benar-benar memerlukan.
Baca juga: Populariti PM Anwar rupanya masih belum pudar, kekal dahului carta ‘puas hati’ rakyat