Kedudukan Malaysia sebagai antara negara paling aman di dunia terus mengukuh apabila melonjak ke tangga ke-12 dalam Indeks Keamanan Global (GPI) pada 2026 daripada 163 negara lain.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kejayaan itu sekali gus meletakkan Malaysia sebaris dengan Singapura dan Jepun sebagai antara negara paling aman di Asia.
Pencapaian itu juga mencerminkan hasil usaha Kerajaan Madani yang berterusan dalam memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan negara sentiasa menjadi keutamaan.
Komitmen seluruh pasukan keselamatan, agensi penguatkuasaan serta semua pihak yang tidak pernah berkompromi dalam memelihara keamanan dan ketenteraman negara juga berperanan penting dalam pencapaian ini.
“Di Kementerian Dalam Negeri, kami akan terus memperkukuh usaha meningkatkan keselamatan awam, memperkasakan penguatkuasaan undang-undang, memperkukuh kawalan sempadan negara, membanteras jenayah serta memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Keamanan bukan sekadar satu pencapaian, tetapi asas kepada kesejahteraan rakyat, keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi negara. Insya-Allah, usaha untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, selamat dan stabil akan terus diperkasakan demi manfaat seluruh rakyat,” katanya dalam hantaran di platform Facebook.
Saifuddin turut mengucapkan tahniah dan memberi penghargaan kepada semua anggota pasukan keselamatan, agensi penguatkuasaan serta seluruh rakyat yang bersama-sama memainkan peranan dalam memelihara keamanan Malaysia.

Baca juga: Kenapa subsidi diesel perlu disasar? Rupanya bukan rakyat sahaja yang menikmati subsidi sebelum ini