Nanas Malaysia kini tembusi New Zealand, nilai eksport dijangka cecah RM4.3 juta setahun!

Oleh MALAYSIADATELINE

Bekalan nanas Malaysia kini mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik, manakala lebihan pengeluaran akan dipasarkan ke luar negara bagi menjana pulangan ekonomi kepada rakyat dan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pelepasan Kontena Eksport Nanas Segar Malaysia ke New Zealand di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur.

Menurut beliau, eksport nanas segar varieti MD2 ke New Zealand menjadi bukti bahawa nanas Malaysia semakin mendapat pengiktirafan di pasaran antarabangsa.

“Bekalan nanas sekarang sudah mencukupi untuk Malaysia dan sebarang pengeluaran tambahan adalah bagi tujuan eksport,” katanya.

Beliau berkata, pasaran eksport nanas Malaysia terus berkembang berikutan kualiti buah tempatan yang tinggi dan mendapat permintaan di luar negara.

Tambahnya, hasil kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), kawasan tanaman nanas kini telah diperluaskan melebihi 300 hektar.

Mohamad berkata, jumlah eksport nanas ke New Zealand dijangka mencecah RM4.3 juta setahun, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada industri nanas negara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk kakitangan kementerian dan pemain industri, atas kerjasama dalam memperkukuhkan sektor pertanian negara.

“Kita dapat meningkatkan hasil pertanian dan mengeksportnya demi manfaat ekonomi rakyat serta ekonomi negara,” katanya.

Baca juga: Akses awal BUDI Diesel berjalan lancar, 1 juta liter minyak subsidi terjual hari ini!