PM Anwar didakwa dihalang guna kemudahan kerajaan di Muar pada saat akhir

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa dihalang untuk menggunakan kemudahan kerajaan Johor di Muar bagi bertemu masyarakat setempat pada saat-saat akhir dalam kejadian sekitar dua minggu lalu.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim, Anwar yang juga Presiden PKR itu dijadualkan untuk bertemu dengan nelayan, petani, usahawan dan pendidik di sebuah pusat komuniti di Sungai Balang.

Program tersebut bagaimanapun tidak dapat diteruskan selepas Pejabat Pegawai Pembangunan Negeri dikatakan diberi makluman oleh Pejabat Daerah bahawa fasiliti kerajaan tersebut tidak boleh digunakan.

Difahamkan akibat daripada halangan tersebut, lokasi program berkenaan terpaksa dipindahkan ke sebuah jeti dan dikendalikan dengan kerjasama pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Perkara itu didedahkan Kamil ketika hadir dalam sesi ceramah di Segamat malam tadi untuk membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Pemanis, Jalex Lee En Xiang, lapor Malaysia Kini.

“Dari pengalaman saya, dua minggu lepas apabila perdana menteri datang ke Sungai Balang di Johor, kamu tahu apa? Perdana menteri telah dinafikan untuk guna Kompleks Penghulu di Sungai Balang untuk bertemu dengan nelayan, petani, warga pendidik dan pemimpin tempatan.

“Saya nak tahu ini arahan siapa yang tidak izinkan perdana menteri untuk guna (kompleks)? Ini harus dijawab oleh kerajaan negeri Johor,” katanya mengakui hairan mengapa Anwar menerima layanan sedemikian di negeri tersebut memetik laporan Malaysia Kini.

Hal ini berikutan pemimpin nombor satu negara itu sentiasa bersikap baik malah sering bertoleransi terhadap kerajaan negeri Johor dalam menyelesaikan pelbagai isu yang timbul sepanjang pentadbirannya.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar dakwaan dibuat Menteri Besar, Johor Onn Hafiz Ghazi sebelum ini yang mendakwa bahawa dirinya telah dihalang daripada memasuki kawasan Felda.

Kamil yang juga setiausaha politik kepada Anwar itu menyifatkan isu berkenaan sengaja dibesar-besarkan oleh pemimpin terbabit sebagai satu lagi ‘drama politik’ untuk meraih sokongan dan simpati menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Jangan gunakan isu Felda ini sebagai satu lagi drama politik untuk meraih sokongan ataupun simpati di negeri Johor ini. Sebaliknya, tunjukkan apa tawaran kita, apa dasar kita, dan apa pendekatan ekonomi kita.” Ujarnya lagi.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menyangkal dakwaan bahwa wujudnya sebarang arahan rasmi daripada pihak Kerajaan Persekutuan untuk menghalang Onn Hafiz memasuki kawasan Felda.

Malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga menafikan ada mengeluarkan arahan untuk membatalkan program itu atau menghalang Menteri Besar Johor daripada memasuki kawasan tersebut.

Baca juga: Ramai tak sedar… Kongsi ayat al-Quran tanpa semak boleh jadi dosa besar