Ramai tak sedar… Kongsi ayat al-Quran tanpa semak boleh jadi dosa besar

Oleh MALAYSIADATELINE

Kadangkala niat untuk berkongsi ilmu agama boleh bertukar menjadi dosa jika maklumat yang disebarkan tidak disemak terlebih dahulu.

Itulah peringatan yang disampaikan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang menegaskan orang ramai supaya tidak mereka-reka atau menisbahkan sesuatu kepada al-Quran tanpa memastikan kesahihannya.

Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau mengingatkan bahawa setiap ayat yang dikaitkan dengan al-Quran perlu disemak terlebih dahulu, termasuk terjemahan dan tafsirnya, sebelum dikongsikan kepada orang lain.

Menurutnya, perkara itu penting kerana yang dibawa bukan sekadar kata-kata manusia, sebaliknya kalam Allah SWT yang suci dan mulia.

“Sebelum menyebarkan sesuatu yang dinisbahkan kepada al-Quran, berhentilah seketika dan semaklah terlebih dahulu.

“Pastikan ayatnya benar, terjemahannya tepat dan tafsirnya dirujuk daripada sumber yang sahih,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar keinginan mengejar pahala dengan berkongsi ilmu agama tidak akhirnya membawa kepada kesilapan yang besar.

“Jangan sampai kerana mahu mengejar kebaikan dalam berkongsi, kita terjatuh dalam kesilapan terhadap firman Allah SWT.

“Lebih-lebih lagi kepada pihak yang menerbitkan buku, artikel atau bahan bacaan. Amanah ini sangat besar.

“Jangan sesekali meletakkan sesuatu yang bukan daripada al-Quran lalu disandarkan kepada Allah SWT,” katanya lagi.

Dr Zulkifli turut menjelaskan bahawa para ulama tafsir telah lama mengingatkan bahawa berkata tentang Allah tanpa ilmu adalah satu dosa yang besar, lebih-lebih lagi jika seseorang dengan sengaja menyandarkan sesuatu yang tidak benar kepada-Nya.

Beliau kemudian memetik firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 33:

“Dan (Allah mengharamkan) kamu memperkatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.”

Sehubungan itu, beliau menggesa umat Islam supaya sentiasa memastikan setiap ayat al-Quran yang dipetik adalah sahih dan bukan sekadar kata-kata yang disangka sebagai ayat suci.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa sebuah kolum al-Quran diwujudkan dalam aplikasi Al-Inarah bagi memudahkan orang ramai membaca, menyemak ayat, memahami terjemahan serta merujuk tafsir daripada sumber yang sahih sebelum menyampaikan kepada orang lain.

Beliau berharap setiap perkongsian ilmu yang dibuat menjadi amal soleh yang berterusan dan bukannya beban yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak.

Baca juga: Boleh ke polis buat macam ini? Wanita terkejut telefon tunang dirampas, galeri digeledah tanpa izin…