Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperkenalkan Pasport Malaysia Antarabangsa dengan 94 ciri keselamatan baharu bagi memperkukuh perlindungan identiti pemegang pasport serta meningkatkan keselamatan dokumen perjalanan negara.
Menerusi satu hantaran di Facebook, JIM memaklumkan penambahbaikan itu turut memastikan pasport Malaysia memenuhi piawaian antarabangsa ICAO 9303, selain menyokong proses perjalanan yang lebih lancar di pintu masuk antarabangsa.
Menurut jabatan itu, pelaksanaan pasport dengan struktur baharu tersebut akan dibuat secara berfasa.
“Pasport Malaysia Antarabangsa kini diperkasakan dengan 94 ciri keselamatan baharu bagi memperkukuh perlindungan identiti pemegang pasport serta memenuhi piawaian antarabangsa ICAO 9303.
“Penambahbaikan ini turut menyokong proses perjalanan yang lebih lancar dan meningkatkan keyakinan terhadap keselamatan dokumen perjalanan Malaysia,” menurut hantaran itu.
JIM turut menjelaskan bahawa orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menukar pasport masing-masing kerana pasport sedia ada masih sah digunakan sehingga tamat tempoh.
“Pelaksanaan pasport baharu ini akan dibuat secara berfasa.
“Pasport sedia ada kekal sah digunakan sehingga tamat tempoh, justeru orang ramai tidak perlu tergesa-gesa untuk menukarnya,” menurut jabatan itu lagi.
Antara kelebihan utama pasport baharu tersebut ialah perlindungan data dan identiti yang lebih kukuh, proses perjalanan yang lebih lancar serta pematuhan kepada piawaian keselamatan antarabangsa yang ditetapkan oleh ICAO.
Baca juga: PM Anwar rendah hati rayu mandat diberi kepada calon PH pimpin Johor