Kerajaan Madani kekal berpegang kepada prinsip keadilan dalam mengagihkan peruntukan termasuk yang mendesak kepada semua negeri sekali gus menolak dakwaan bahawa sesetengah kawasan ‘dianaktirikan’.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya menjelaskan bahawa setiap peruntukan yang disalurkan kepada kerajaan negeri itu ditentukan berdasarkan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan itu menekankan bahawa peruntukan tersebut tidak bergantung kepada jumlah hasil yang dikutip dari setiap negeri sebaliknya mengikut keutamaan dan keperluan masing-masing.
Keutamaan atau keperluan ini termasuk projek tebatan banjir, menaik taraf lebuh raya dan jalan baharu Pan Borneo, sistem saliran air, pembasmian kemiskinan, pembangunan sekolah serta kemudahan infrastruktur lain.
Menurut Anwar, hampir kesemua negeri menerima peruntukan lebih tinggi dari Kerajaan Persekutuan berbanding hasil cukai disumbangkan kecuali Selangor dan Pulau Pinang yang mencatatkan sumbangan lebih besar.
Berikut kami senaraikan contoh beberapa hasil negeri berbanding perbelanjaan dikeluarkan Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 2023 hingga 2025 berdasarkan penjelasan Anwar yang dikongsikan menerusi hantaran video di platform Facebook.
- Selangor – Hasil cukai disumbangkan kepada Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM43.6 bilion manakala perbelanjaan Persekutuan di negeri itu pula berjumlah RM15 bilion.
- Pulau Pinang – Purata hasil yang diperoleh Kerajaan Persekutuan bernilai RM10.7 bilion, manakala perbelanjaan di negeri tersebut berjumlah RM7.9 bilion dalam tempoh sama.
- Kelantan – Negeri Pantai Timur itu mencatatkan purata hasil sebanyak RM946 juta manakala perbelanjaan Persekutuan pula jauh lebih tinggi sehinggakah mencecah RM8.9 bilion.
- Kedah – Hasil yang direkodkan oleh negeri Jelapang Padi tersebut adalah sebanyak RM3.7 bilion berbanding jumlah perbelanjaan Persekutuan pula ialah RM9.5 bilion.
- Terengganu – Kerajaan Persekutuan menerima hasil termasuk dari petroleum sekitar RM2 bilion dari negeri itu manakala perbelanjaan Persekutuan pula berjumlah RM7.8 bilion.
- Johor – Negeri di bahagian Selatan Malaysia ini pula telah merekodkan jumlah hasil sekitar RM14 bilion dengan perbelanjaan Persekutuan adalah sebanyak RM16 bilion.
Difahamkan, rakaman tersebut memaparkan sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini.
Anwar ketika itu menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS) berhubung peruntukan kepada kerajaan negeri yang didakwa tidak mencukupi berbanding hasil yang dikutip.
Pemimpin nombor satu negara itu juga memberi jaminan berhubung pemberian khas kepada Sarawak dengan rundingan mengenainya masih diteruskan selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Baca juga: 30% lebih murah! Mat Sabu dedah sebab Jualan Agro MADANI diteruskan