Seorang lelaki etnik Rohingya berusia 24 tahun mendakwa dirinya membayar RM10,000 kepada ejen untuk membawanya masuk ke Malaysia.
Lelaki tersebut bagaimanapun ditahan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di Terminal Bas Kota Bharu, Lembah Sireh, malam tadi.
Lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 7.50 malam ketika dipercayai sedang menunggu bas untuk ke Permaisuri, Setiu, Terengganu bagi mencari peluang pekerjaan baharu lapor Harian Metro.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata hasil soal siasat mendapati lelaki itu memasuki Malaysia pada 2023 selepas memulakan perjalanan dari Rathedaung, Rakhine, Myanmar.
“Lelaki itu mengaku membayar sebanyak RM10,000 kepada seorang ‘ejen’ bagi menguruskan perjalanan dari Myanmar sehingga memasuki Malaysia.
“Dia menaiki sebuah kapal laut selama sebulan.
“Setibanya di Thailand (lokasi tidak diketahui), lelaki berkenaan berjalan kaki melalui kawasan hutan menuju ke selatan Thailand selama kira-kira tiga hari sebelum dibawa masuk ke negara ini melalui laluan Sungai Golok,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, lelaki itu turut mengaku telah berada di Malaysia selama kira-kira tiga tahun dan bekerja sebagai buruh binaan di sekitar Kota Bharu.
Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah sebelum ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
“Risikan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi mengesan serta membanteras sindiket penyeludupan migran disamping mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin,” katanya.
Baca juga: Kerajaan Madani pegang prinsip adil, salur peruntukan negeri ikut keperluan rakyat