Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis penghormatan terakhir Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei di Tehran, esok.
Permohonan maaf itu disampaikan Anwar kepada Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi dalam pertemuan mereka di Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-39 hari ini di ibu negara.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Menteri Kewangan itu memaklumkan bahawa beliau tidak dapat hadir ke majlis tersebut kerana memiliki komitmen rasmi yang tidak dapat dielakkan.
“Berkesempatan bertemu Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi, di sela-sela Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-39. Saya sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran atas pemergian Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei.
“Saya juga menyampaikan permohonan maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis penghormatan terakhir Allahyarham berikutan komitmen rasmi yang tidak dapat dielakkan,” kongsi pemimpin nombor satu negara itu menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.
Sehubungan dengan itu, beliau mengamanahkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu untuk mewakili Kerajaan dan rakyat Malaysia bagi menghadiri majlis penghormatan terakhir tersebut.
Terdahulu, Khamenei dilaporkan terkorban di kediamannya di tengah Tehran pada 28 Februari lalu akibat daripada serangan bersama yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.
Upacara pengebumian beliau kemudian dirancang untuk diadakan pada bulan Mac lalu namun terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu akibat peperangan yang berlangsung di negara berkenaan.
Difahamkan, jenazah pemimpin berusia 86 tahun itu akan disemadikan di Maqam Imam Reza di Mashhad pada 9 Julai ini selepas siri upacara penghormatan terakhir dan perarakan jenazah yang berlangsung di Tehran serta Qom.
Baca juga: Norway batal eksport peluru berpandu: AS nafi terlibat, Malaysia teroka kerjasama baharu – PM Anwar