Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menyentuh isu eksport peluru berpandu antikapal (NSM) dengan menyelar tindakan Norway membatalkan lesen pembekalannya ke Malaysia baru-baru ini.
Isu tersebut kembali diulas oleh Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu ketika menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-39 berlangsung hari ini, di ibu negara.
Pemimpin nombor satu negara itu juga sudah mendapatkan pengesahan daripada pihak Amerika Syarikat (AS) bahawa mereka tidak terlibat dalam mempengaruhi keputusan Norway untuk pembatalan kontrak tersebut.
Rangkuman ucapan Anwar dalam persidangan tersebut turut dikongsikan beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun itu menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
“Saya turut menyentuh dan menyelar tindakan Norway terhadap pembatalan lesen eksport NSM kepada Malaysia baru-baru ini. Saya juga tegaskan, itu bukan caranya Norway melayan rakan strategik seperti Malaysia.
“Saya juga telah mendapat pengesahan dari Amerika Syarikat melalui Setiausaha Negara Marco Rubio bahawa negara itu tidak terlibat, jauh sekali mempengaruhi Norway untuk bertindak sedemikian rupa,” katanya dalam perkongsian itu.
Difahamkan, Anwar juga sudah menulis surat kepada pemimpin Kesatuan Eropah (EU) mengenai perkara tersebut sebelum menerima jaminan bahawa tindakan Norway tidak mewakili dasar atau pendiriaa wilayah itu terhadap Malaysia.
Sehubungan dengan itu, Malaysia kini bersedia untuk memperluaskan jaringan kerjasama melalui penerokaan potensi baharu bersama negara-negara lain termasuk daripada Global South.
“Walhasil, Malaysia akan terus memperluas jaringan kerjasama, memperkukuh hubungan dengan rakan-rakan sedia ada sambil meneroka potensi baharu bersama negara-negara dari Global South.
“Seni dan gaya diplomasi kita bukan sekadar bahasa para diplomat dan pembuat kebijakan, tetapi adalah ikhtiar dalam membina peluang kepada rakyat serta mengangkat martabat negara.
“(Selain turut) memastikan Malaysia terus melangkah dengan yakin; berprinsip dengan kewarasan, berani tanpa bersikap gopoh, serta tegas tanpa hilang adab dan kemanusiaan.” Ujarnya lagi.
Terdahulu, Kementerian Luar Norway dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada langkah negara itu memperketat kawalan eksport.
Perolehan berkaitan NSM sebelum ini dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.
Baca juga: Ikut aplikasi navigasi, lima warga China cedera selepas kereta terjunam ke gaung