Di sebalik rungutan segelintir pihak, bagi ribuan keluarga berpendapatan rendah, MyKasih adalah sinar harapan ketika kos sara hidup terus menghimpit.
Ada yang hanya mampu menghela nafas lega selepas mendengar baki bantuan masih mencukupi untuk membeli beras, susu dan makanan buat anak-anak.
Bagi warga emas yang hidup bersendirian atau keluarga yang bergelut dari satu gaji ke satu gaji, setiap ringgit bantuan itu membawa makna yang sukar digambarkan.
Dalam satu hantaran yang tular, seorang juruwang meluahkan rasa penat melayan urusan pembelian menggunakan MyKasih, selain mendakwa terpaksa berdiri sehingga 10 jam sehari dan hanya mempunyai kira-kira dua jam untuk duduk.
“Sampai bila ye MyKasih ni ada? Tahun depan ada lagi ke? Cukuplah. Aku sebagai cashier dah tak rasa kaki.
“Kau bayangkanlah 10 jam berdiri, dua jam je boleh duduk. Bukan kaki je sakit, pinggang pun tak rasa,” tulisnya.
Bagaimanapun, hantaran itu menerima pelbagai respons, termasuk daripada seorang lagi juruwang yang berkongsi pengalaman berbeza ketika melayan penerima bantuan berkenaan.
Menurutnya, dia tidak melihat urusan MyKasih sebagai beban kerana menyaksikan sendiri bagaimana bantuan itu memberi kelegaan kepada golongan memerlukan.
Beliau menceritakan seorang warga emas yang meminta baki MyKasih disemak sebelum membeli barangan keperluan.
“Saya beritahu ada RM150. Terus dia cakap Alhamdulillah. Nampak sangat dia bersyukur ada duit sebanyak itu dan boleh berbelanja.
“Nampak tak betapa bernilainya MyKasih pada orang tua macam itu? Kadang-kadang dengan duit itulah mereka nak survive,” katanya.
Juruwang berkenaan turut berpandangan bahawa mereka yang tidak selesa dengan tuntutan kerja sebagai juruwang mempunyai pilihan untuk mencari pekerjaan lain.
Baca juga: Gara-gara gelombang panas ekstrem, pasar raya huru hara orang berebut beli penyaman udara