Harga telur, ayam dah stabil, kenapa sayur masih mahal? Ini penjelasan Mat Sabu

Oleh MALAYSIADATELINE

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pelaksanaan Jualan Agro MADANI merupakan antara inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan di samping mengekalkan kestabilan bekalan makanan.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Jualan Agro MADANI di perkarangan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pagoh, Bukit Pasir, Muar, Johor.

Menurutnya, sepanjang menerajui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, pelbagai usaha telah digerakkan bagi memastikan rakyat menikmati sedikit keselesaan terutama selepas negara berdepan ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19.

“Tiga tahun dulu, kita berada dalam keadaan agak tidak menentu terutama akibat pandemik COVID-19.

“Selepas itu, kita berusaha bersama pegawai kerajaan dan para penternak. Kita berbincang dan akhirnya berjaya menstabilkan harga telur serta ayam,” katanya.

Mohamad berkata, cabaran masih wujud khususnya membabitkan harga sayur-sayuran yang kadangkala meningkat akibat faktor cuaca sehingga menjejaskan pengeluaran.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan para peladang berjaya membantu menyeimbangkan harga di pasaran.

“Cuma bagi sayur-sayuran, ada kalanya harga meningkat apabila cuaca menjejaskan pengeluaran dan berlaku sedikit kenaikan harga.

“Namun pihak FAMA dan peladang memainkan peranan bagi memastikan harga dapat diseimbangkan.

“Melalui jualan-jualan seperti ini, kerajaan turut memberi sedikit subsidi kepada harga barangan keperluan harian yang digunakan rakyat,” katanya.

Beliau berharap keadaan negara terus aman dan tenteram agar usaha memperkukuh keterjaminan makanan serta menjaga kebajikan rakyat dapat diteruskan tanpa berdepan cabaran besar.

Baca juga: Johor perlu pemimpin pandai nilai keutamaan rakyat, berani buat keputusan – PM Anwar