Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pengundi di Johor memberikan mandat kepada HARAPAN pada pilihan raya akan datang bagi memastikan usaha membangunkan negeri itu dapat diteruskan secara lebih tersusun, meyakinkan dan berkesan.
Dalam satu hantaran di Facebook selepas mengakhiri program bersama masyarakat di Serom, Anwar berkata mandat daripada rakyat penting bagi memastikan pelbagai ikhtiar pembangunan dapat diteruskan demi manfaat seluruh rakyat.
“Mengakhiri program di Johor bersama masyarakat Serom, saya menyeru para pengundi agar memberikan mandat kepada HARAPAN.
“Supaya ikhtiar membangunkan negeri ini dapat diteruskan secara lebih tersusun, meyakinkan dan berkesan demi manfaat seluruh rakyat,” jelasnya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, pilihan raya bukan sekadar memilih parti atau individu, sebaliknya menjadi penentu kepada hala tuju Johor pada masa hadapan.
“Pilihan raya bukan sekadar soal memilih parti atau individu.
“Yang lebih utama ialah menentukan haluan Johor untuk tahun-tahun mendatang serta masa depan yang ingin kita wariskan kepada anak-anak,” jelasnya.
Menurut Anwar, keputusan yang dibuat oleh rakyat dalam pilihan raya akan memberi kesan besar terhadap kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan generasi akan datang.
“Inilah masanya rakyat membuat pilihan yang akan mencorakkan kestabilan politik, mengukuhkan ekonomi, meningkatkan keyakinan pelabur, membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta menjamin kesejahteraan generasi akan datang,” ujarnya.
Baca juga: Jangan ulang episod lama angkat pemimpin terpalit rasuah, salah guna kuasa – PM Anwar