Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kepada pasangan warga emas kerana tidak berkesempatan untuk bertemu secara empat mata dengan mereka dalam siri jelajahnya di Johor semalam.
Hal ini berikutan warga emas yang dikenali sebagai Abdul Razak Pelangga, 86, itu sanggup mengayuh beca sejauh hampir satu kilometer demi menunaikan hasrat isterinya, Jamilah Samsudin, 64, untuk berjumpa dengan Anwar.
Namun hasrat itu tidak kesampaian kerana lokasi kunjungan pemimpin terbabit dibanjiri orang ramai sehingga menyukarkan mereka untuk bertemu secara empat mata dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan.
Sehubungan dengan itu, Anwar merangkap Presiden PKR turut menyampaikan penghargaan atas sokongan dan dukungan diberikan pasangan terbabit selain berharap dapat menunaikan hasrat mereka suatu hari nanti.
“Maaf, hari ini kita belum sempat bertemu. Insya-Allah, kita akan berjumpa nanti. Terima kasih atas dukungan dan sokongan yang diberikan.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kalian kesihatan yang baik serta mempermudah segala urusan,” katanya menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook sebagai maklum balas laporan media berhubung warga emas itu.
Difahamkan, Anwar ketika itu singgah di Kedai Kopi Hailam Sri Medan, Senggarang, Batu Pahat untuk bersarapan dan beramah mesra dengan masyarakat setempat dalam rangka kunjungan beliau sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Johor.
Abdul Razak yang mendengar perkhabaran tentang kunjungan Anwar memutuskan untuk membawa isterinya menaiki beca ke lokasi itu walaupun boleh memandu kereta atau menunggang motosikal kerana bimbang sukar mendapat parkir kenderaan.
Mereka bagaimanapun tidak sempat bertentang mata dengan Anwar kerana terlalu ramai orang di lokasi tersebut namun tetap berpuas hati setelah dapat melihat pemimpin yang selama ini ditonton dalam televisyen secara dekat.
Sekadar info, Abdul Razak merupakan Imam Masjid Raudhatul Jannah Parit Bugis yang bertahun lama dahulu pernah mengimamkan Anwar dan sikap mesra pemimpin terbabit pada ketika itu cukup terkesan di hatinya sehingga ke hari ini.
Baca juga: Bukan sekadar rewang! Dr Zaliha yakin lempuk, tempoyak mampu ubah ekonomi penduduk