Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu kepada rakyat Johor agar memberi peluang kepada kepimpinan gabungan itu untuk mentadbir negeri tersebut bagi penggal akan datang.
Seruan tersebut dibuat Anwar yang juga merupakan Perdana Menteri itu menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
Anwar merangkap Presiden PKR itu berharap pengundi di Johor memberi mandat kepada PH untuk berkhidmat kepada negeri berkenaan dengan jaminan bahawa kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.
“Berbaki hanya beberapa hari sebelum rakyat Johor membuat pilihan, saya merayu agar diberikan peluang kepada HARAPAN untuk berkhidmat kepada negeri ini.
“Insya-Allah, kami akan bekerja bersungguh-sungguh, mempertahankan kepentingan Johor dan memastikan kemajuan yang dibawa benar-benar dirasai oleh seluruh rakyat. Johor Ke Depan. Undi HARAPAN,” katanya.
Sekadar info, PRN Johor ke-16 kali ini menyaksikan seramai 172 calon bertanding untuk merebut kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan majoriti mudah sekurang-kurangnya 29 ‘kemenangan’ diperlukan bagi membentuk kerajaan negeri.
PH mempertaruhkan 56 calon di kesemua kerusi DUN dengan merangkumi seramai 20 wakil dipilih daripada PKR, 19 mewakili Amanah manakala DAP menghantar 17 calon sekali gus menyaksikan pertarungan sengit untuk PRN Johor pada kali ini.
Baca juga: ATM dah percuma, kad kredit lebih murah! Ini 3 berita baik untuk rakyat dan PMKS