Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Johor hari ini untuk meneruskan siri jelajahnya ke negeri itu untuk menyemarakkan kempen calon parti gabungan tersebut.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Anwar yang juga Perdana Menteri itu dijadualkan berkunjung ke tiga lokasi untuk berkempen bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru seluruh warga Johor untuk ikut serta dalam program diadakan di negeri tersebut sebelum tempoh berkempen tamat pada tengah malam Jumaat.
“Saya mengajak seluruh warga Johor untuk ikut serta. Insya-Allah, kita julang harapan baru untuk warga Johor. Johor Ke Depan. Undi HARAPAN,” katanya dalam perkongsian itu.
Berdasarkan jadual yang dikongsikan dalam hantaran itu, Anwar akan memulakan siri jelajahnya dengan menghadiri program Grand Finale Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang.
Difahamkan, program tersebut akan diadakan di pekarangan Mediwell Pharmacy Banang Jaya, Batu Pahat pada sekitar jam 8.05 malam dengan kehadiran calon PH yang bakal bertanding di kawasan tersebut.
Anwar yang juga Presiden PKR itu kemudian akan meneruskan kunjungan ke DUN Rengit untuk menjayakan program Ceramah PMX di Dewan Orang Asli Rengit, Batu Pahat pada pulul 8.50 malam.
Siri jelajah itu dijadualkan berakhir di kawasan Johor Selatan di DUN Puteri Wangsa menerusi program Grand Finale Harapan Johor Selatan yang diadakan sekitar jam 10.35 malam di Padang Awam Taman Pelangi Indah.
Sekadar info, tempoh kempen bersempena dengan PRN Johor ke-16 ini dimulakan pada 27 Jun lepas dan dijadualkan berakhir pada 10 Julai sekitar jam 11.59 malam seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Baca juga: Jangan terus panik! Ini sebab jumlah di pam tak sama dengan apa yang anda bayar untuk BUDI MADANI