Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul merakamkan penghargaan atas peranan aktif Malaysia dalam membantu menggalakkan dialog dan usaha damai serantau termasuk menyokong proses perdamaian negara itu dengan Kemboja.
Difahamkan, penghargaan tersebut disampaikan sendiri oleh Anutin yang kini berada di Malaysia dalam rangka lawatan rasmi beliau ke negara ini selama dua hari atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi perkongsian di platform Facebook, Anwar memaklumkan beliau mengadakan pertemuan empat mata dengan Anutin di Bangunan Perdana Putra sebelum mempengerusikan mesyuarat dua hala bersama delegasi kedua-dua negara.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau, termasuk perkembangan di Myanmar serta usaha mengekalkan keamanan di selatan Thailand, berlandaskan semangat ASEAN yang sentiasa mengutamakan dialog, persefahaman dan penyelesaian secara damai.
“Hubungan Malaysia dan Thailand akan terus diperkukuh berteraskan semangat saling menghormati, kepercayaan dan iltizam untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama yang membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara serta kemakmuran rantau ini,” katanya dalam hantaran itu.
Menurut Anwar, perbincangan mereka tertumpu kepada kerjasama pelbagai bidang meliputi perdagangan dan pelaburan, pembangunan sempadan, keselamatan, pertanian dan keterjaminan makanan, pelancongan, industri halal serta industri semikonduktor.
Jelas beliau, pertemuan ini juga turut memperteguhkan persahabatan yang sekian lama terjalin serta komitmen Malaysia dan Thailand untuk terus memperkukuh Perkongsian Strategik demi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan kedua-dua negara.
“Kami memberi penekanan kepada usaha mempercepat pelaksanaan projek-projek kesalinghubungan serantau, termasuk ASEAN Power Grid, serta memperkukuh kesalinghubungan di sempadan Rantau Panjang-Sungai Golok demi memudah cara pergerakan rakyat dan merancakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan.
“Malaysia dan Thailand bersetuju mempercepat pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah dipersetujui melalui mekanisme kerjasama sedia ada agar manfaatnya dapat segera dirasai oleh rakyat kedua-dua negara.” Ujar pemimpin nombor satu negara itu.
Terdahulu, Anutin tiba di Malaysia pada pukul 11.11 pagi dan disambut Perdana Menteri Malaysia di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum mereka bergerak ke Kompleks Perdana Putra.
Baca juga: Kerajaan tanggung RM51.4 bilion beban 1MDB, RM20.1 bilion lagi masih belum selesai